Rabu, 7 April 2010

Elaun SAR: Penjelasan Majlis Agama Islam Pulau Pinang

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) terlebih dahulu mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Veteran SAR membangkitkan nasib guru-guru SAR di Pulau Pinang melalui ruangan ini pada 29 Mac, 2010.

Untuk makluman, terdapat 101 buah SAR yang menjalankan Kurikulum Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi. Sebelum tahun 2009, guru SAR ini dibayar elaun seperti berikut:

n Elaun KAFA - RM500 (peruntukan JAKIM)

n Elaun ex-gratia - RM50 (peruntukan kerajaan negeri)

n Elaun SAR KAFA - RM160 (peruntukan Kementerian Pelajaran Malaysia)

Jumlah - RM710 (elaun ini tidak termasuk sumbangan pihak pengurusan SAR jika ada)

Bayaran elaun RM160 di atas adalah peruntukan Kementerian Pelajaran Malaysia berjumlah RM1.1 juta yang disalurkan melalui JHEAIPP. Peruntukan ini dimasukkan ke dalam akaun tabung SAR dan dipuratakan bayaran bagi setiap guru sebanyak RM160. Kaedah ini dilakukan untuk memberi agihan elaun yang lebih adil kepada SAR yang kurang murid.

Mulai tahun 2009, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan untuk menyalurkan peruntukan elaun SAR KAFA tersebut terus kepada akaun jemaah pengurusan SAR.

Ini bermakna, adalah menjadi tanggungjawab jemaah pengurusan SAR masing-masing membayar elaun kepada guru.

Surat pekeliling dan taklimat telah diberikan kepada jemaah pengurusan SAR mengenai kaedah bayaran kepada guru-guru pada 2 September dan 17 September, 2009.

Oleh itu bayaran RM160 tidak lagi dibayar oleh JHEAIPP kerana peruntukannya disalurkan terus ke SAR masing-masing.

Guru veteran disarankan supaya mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah berhubung dengan elaun berkenaan.

SAZALI HUSSEIN

Pengarah

Jabatan Hal Ehwal Agama

Islam Pulau Pinang

Utusan Malaysia Online: 7 April 2010

Tiada ulasan: