Isnin, 26 April 2010

SMK Kubang Rotan perlu derma besarkan surau

ALOR SETAR 25 April - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan di sini memerlukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan projek membesarkan surau di sekolah berkenaan.

Setiausaha surau tersebut, Zul Ahmad Tarmizi berkata, pihak sekolah telah menggerakkan usaha untuk mengumpul dana bagi tujuan berkenaan tetapi masih memerlukan kira-kira RM200,000 untuk menyiapkannya.

Katanya, surau berkenaan perlu dibesarkan bukan sahaja untuk memudahkan pelajar Islam dan guru menunaikan solat tetapi bagi menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan keagamaan termasuk membudayakan pembacaan al-Quran selain dijadikan sebagai pusat kegiatan ibadat.

"Surau yang ada sekarang cuma boleh memuatkan kira-kira 30 orang pada satu masa sedangkan sekolah memerlukan surau yang lebih besar dan mampu memuatkan lebih ramai jemaah.

"Namun, kami masih menghadapi kekurangan dana dan berharap masyarakat dapat menghulurkan sumbangan untuk menyiapkan projek tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zul Ahmad, oleh kerana ruang surau sedia ada agak sempit, aktiviti seperti majlis bacaan surah Yasin yang diadakan dua minggu sekali di sekolah tersebut terpaksa diadakan di tapak perhimpunan atau di padang sekolah.

Katanya, pihak sekolah telah berbincang dengan Majlis Agama Islam Kedah dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk membesarkan surau tersebut dan telah mendapat kebenaran daripada mereka.

Jelasnya, jumlah peruntukan yang diperlukan agak tinggi kerana ia akan melibatkan projek pembesaran surau sekolah yang lebih selesa dan boleh menampung sehingga 700 jemaah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zul Ahmad di talian 019-5118146 atau berkunjung sendiri ke sekolah berkenaan untuk maklumat lanjut.

Utusan Malaysia Online: 26 April 2010

Tiada ulasan: