Jumaat, 23 April 2010

Guru akui manfaat Bengkel ADD

2010/04/23

TAIPING: Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) anjuran Berita Harian yang disertai lebih 80 guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Dr Burhanuddin (SMKDB) di sini, semalam disifatkan mereka amat berguna, terutama membantu pelajar memperoleh kefahaman mendalam terhadap subjek dipelajari.

Mereka dari 35 sekolah di Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) mengakui penggunaan akhbar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah juga menjana minat dan motivasi pelajar untuk mendalami subjek dipelajari.

Bengkel itu dikendalikan Pengarang Berita Pendidikan (Unit Projek), Tamrin Anuar dan Penulis Khas Unit Pendidikan ADD, Sabri Said itu mendapat kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah LMS. Guru SMK Dato' Kamaruddin, Batu Kurau, Bahazin Bani Hashim, 44, berkata bengkel ini adalah yang kedua disertainya dan mendapati banyak manfaat boleh diperoleh kerana kaedah itu tidak membosankan pelajar.

“Melalui akhbar, guru dan pelajar mendapat banyak maklumat dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sastera dan bahasa, sukan, kesihatan dan pembangunan,” katanya.

Guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Anisah Abu Bakar, 25, berkata penyertaan kali pertama dalam bengkel ADD mendapati ianya begitu menarik kerana banyak membekalkannya pengetahuan dan pengalaman dalam proses P&P melalui akhbar.

“Saya melihat kaedah ini dapat menggalakkan pelajar mencari bahan sesuai dan relevan dalam akhbar untuk memantapkan pemahaman mata pelajaran dipelajari,” katanya sambil mencadangkan kepada guru kanan dan ketua jabatan melanggan Berita Harian atau New Straits Times untuk menjadi bahan P&P di sekolahnya.
Guru Kanan Bahasa, SMK Tat Beng Sungai Tinggi, Trong, Khor Leong Keng, 52, berkata beliau menggunakan akhbar untuk mengajar Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) dengan menjadikan akhbar Berita Harian dan New Straits Times sebagai bahan bagi kaedah itu.

Guru SMK Hua Lian, Taiping, S Thevi, 32, berkata beliau menggunakan beberapa sisipan termasuk bercorak pendidikan dalam kedua-dua akhbar itu untuk mengajar subjek BM dan BI kepada pelajar tingkatan empat dan lima termasuk bagi mengukuhkan tatabahasa, kefahaman dan penulisan esei.

Guru SMK Redang Panjang, Selama, R Jeyenthan, 36, pula berkata melalui ADD guru dapat menggunakan akhbar sebagai bahan bantu yang terkini dan menarik, terutama mengajar BM atau BI.

Berita Harian Online: 23 April 2010

Tiada ulasan: