Isnin, 26 April 2010

Johor: PPKKPS beri impak besar kejayaan guru, pelajar

2010/04/25

KOTA TINGGI: Jabatan Pelajaran Negeri Johor terus memacu nilai penambahbaikan sistem pengurusan di kalangan barisan pentadbir pendidikan mengikut prosedur yang lebih bersistematik melalui kelangsungan Perancangan Strategik (PS) 2009 – 2011.

Pengarahnya, Sufaat Tumin berkata, usaha mencapai prestasi cemerlang dalam pentaksiran dan penilaian bagi menentukan pencapaian kedudukan lima teratas dalam semua peperiksaan awam terbukti berkesan melalui keputusan peperiksaan awam yang memberangsangkan akhir-akhir ini.

Katanya, bermula 1 Mac lalu, kesemua 10 daerah pendidikan diaudit bawah Program Pemantauan Kualiti Pengurusan dan Kepimpinan Pengurus Sekolah (PPKKPS) berjadual bagi tujuan penjimatan yang dilaksanakan secara berpusat di daerah masing-masing oleh satu panel 37 pegawai kanan sektor dari jabatan itu dan Pejabat Pelajaran Daerah.

“PPKKPS yang masuk ke tahun ketiga pelaksanaannya menampakkan impak besar terhadap kejayaan guru dan pelajar sama ada dalam bidang inovasi, dan kreativiti mahupun pencapaian kokurikulum,” katanya pada PPKKPS daerah Kota Tinggi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab dan SMK Laksamana di sini.

Mengulas mengenai PPKKPS, katanya, keputusan penilaian pengurusan semua sekolah di negeri ini yang berakhir di Sekolah Integrasi Iskandar Mersing pada 14 April lalu akan dikumpul.

Katanya, mengikut rekod, sejumlah 115 buah sekolah mencapai penarafan Gemilang (markah 90% ke atas) bidang pengurusan pada 2008 dan tahun berikutnya meningkat kepada 237 buah daripada jumlah keseluruhan 1,129 buah sekolah menengah dan rendah negeri ini.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Hwa, Kota Tinggi, Lee Gin Chee berkata, PPKKPS amat bermakna bagi meningkatkan kualiti kepemimpinan dan pengurusan.
“Melalui penarafan yang dilakukan pihak pentadbir dapat berkongsi kepelbagaian pengalaman dan kejayaan pengurusan sekolah lain bagi meningkatkan kepimpinan pengurusan sekolah di kalangan pentadbir, penolong kanan, guru dan semua kakitangan sebagai budaya memperkasakan kepemimpinan sekolah masing-masing” katanya.

Berita Harian Online: 26 April 2010

Tiada ulasan: