Isnin, 5 April 2010

80 peratus mohon jadi guru wanita

2010/04/05

PUTRAJAYA: Lebih 80 peratus atau 54,400 daripada kira-kira 68,000 permohonan untuk mengikuti Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) yang diterima Kementerian Pelajaran bagi pengambilan Jun depan membabitkan golongan wanita.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Dr Zahri Aziz, bagaimanapun yakin walaupun permohonan daripada wanita jauh lebih tinggi berbanding lelaki, ia tidak bermakna 1,878 calon yang bakal terpilih kelak akan dimonopoli oleh golongan wanita.

Beliau yang mengakui masalah kekurangan guru lelaki agak kritikal ketika ini bagaimanapun berkata, kerajaan masih belum mempunyai cadangan untuk menetapkan kuota bagi pengambilan calon lelaki untuk mengikuti program berkenaan.

"Kita mementingkan calon berkualiti sama ada lelaki atau wanita. Tiada apa-apa kelebihan untuk golongan lelaki, jika mereka bagus, mereka akan terpilih.

Mungkin jumlah wanita yang memohon tinggi, namun tidak bermakna, 20 peratus lelaki yang memohon itu tidak berkualiti, pasti ada yang berkualiti untuk kita memberi pertimbangan sewajarnya, katanya kepada Berita Harian.

Ketika ini, kebanyakan sekolah di seluruh negara mengalami kekurangan jumlah guru lelaki.

Kekurangan jumlah guru lelaki di kebanyakan sekolah seluruh negara didakwa menjadi faktor utama peningkatan masalah disiplin seperti dilaporkan akhbar kebelakangan ini.

Berita Harian Online: 5 April 2010

Tiada ulasan: