Khamis, 29 April 2010

Johor: Kurang murid

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/04/28

SRK Peserian rekodkan penurunan kemasukan murid sejak 2006

BATU PAHAT: Beberapa sekolah di kawasan Semerah kini mencatatkan kemerosotan pelajar secara tetap setiap tahun sehingga diisytiharkan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) oleh Kementerian Pelajaran berikutan penghijrahan warga muda ke kawasan bandar bagi mendapatkan pekerjaan dan peluang hidup lebih baik.

Sehingga kini dua sekolah di kawasan Semerah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Lubok dan SRK Cina Pei Cun sudah secara rasmi dikategorikan sebagai SKM oleh kementerian, manakala SRK Peserian pula berada dalam senarai pemantauan berikutan terus merekodkan penurunan kemasukan murid sejak 2006.

Tinjauan di SRK Peserian mendapati wujud ketidakseimbangan murid di beberapa kelas menyebabkan ada kelas yang mengalami kekurangan murid dan ada pula kelas tertentu yang agak sesak.

Ia berikutan syarat Kementerian Pelajaran menetapkan setiap kelas perlu mempunyai lebih 52 pelajar untuk membolehkan mana-mana sekolah membuka atau memecahkan kelas terbabit kepada dua kelas daripada darjah yang sama.

Guru Besar SRK Peserian, Khalidi Senan, berkata sekolah berkenaan mencatatkan penurunan jumlah pelajar secara konsisten sejak 2006 sehingga kini sehingga menyebabkan bukan saja ada sesetengah kelas menjadi sesak, malah menyukarkan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran setiap murid disebabkan jumlah pelajar agak ramai di sesebuah kelas.

Beliau berkata, pada 2006 sekolah berkenaan mencatatkan 315 murid, 2007 (302), 2008 (289), 2009 (277) dan tahun ini pula seramai 265 murid, padahal kapasiti sekolah itu boleh menampung sehingga 400 murid.
“Disebabkan kekurangan murid, pihak sekolah hanya menggunakan tujuh daripada sembilan kelas yang ada. Namun, ia menimbulkan masalah apabila pelajar Tahun 4 di sini mencatatkan jumlah pelajar 44 murid tetapi tidak boleh dipecahkan kepada dua kelas berikutan peraturan kementerian, selain masalah kekurangan guru jika dibuka kelas baru.

“Ia menyebabkan guru sukar memberi perhatian terhadap semua pelajar di dalam kelas Tahun 4 kerana kesuntukan masa dan ini sesungguhnya merugikan murid terutama pelajar lemah yang sudah tentu memerlukan lebih masa untuk ditunjuk ajar.

“Masalah sama menimpa murid Tahun 6 sekolah ini tetapi berikutan mereka akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi menyebabkan saya memutuskan memecahkan kelas ini kepada dua masing-masing antara 23 hingga 21 pelajar setiap kelas bagi memudahkan guru mereka memberi perhatian kepada setiap pelajar,” katanya ketika ditemui, di sini.

Khalidi berkata, walaupun guru Tahun 6 yang ditugaskan mengajar di dua kelas terbabit tidak menerima elaun sepatutnya diterima berikutan tidak mengikuti peraturan ditetapkan kementerian untuk pemecahan kelas, guru terbabit rela berkorban demi kejayaan anak muridnya menduduki UPSR.

“Ini kerana berkat dedikasi guru di sini tahap kelulusan UPSR yang jika dulu hanya mencatat 50 peratus kini naik kepada antara 70 hingga 75 peratus. Bagi mengatasi masalah kekurangan murid berkenaan, pihak sekolah akan memfokuskan kepada aktiviti kokurikulum termasuk pembangunan sukan seperti kriket bagi menarik lebih ramai murid belajar di sini.

“Malah, Kementerian Pelajaran menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan memindahkan sekolah ini ke kawasan lain bagi memberi laluan kepada pembangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah yang terletak di bahagian depan sekolah ini,” katanya.

Berita Harian Online: 29 April 2010

Tiada ulasan: