Jumaat, 23 April 2010

Pendidikan seks di sekolah tak wajar

2010/04/23

SAYA menyokong penuh bantahan Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad berkaitan cadangan memperkenalkan pendidikan kesihatan reproduktif sebagai satu subjek di sekolah.

Bantahan yang sama turut diutarakan Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM), Azam Md Atan, yang menegaskan usaha membanteras gejala seks bebas dan buang bayi harus bermula di rumah.

Cadangan dan gesaan pelaksanaan pendidikan seks dikemukakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kelmarin dilihat sangat tidak wajar dan seolah-olah terburu-buru dalam tindakan. Cadangan itu sebenarnya bukan penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja, sebaliknya hanya penyelesaian jangka pendek dan tidak memfokuskan kepada persoalan utama masalah yang berlaku.

Selain itu, ia pastinya akan menambahkan lagi beban pengajaran guru yang jelas memikul pelbagai tugasan pengajaran harian dan aktiviti pelajar di sekolah. Pihak kementerian berkenaan sepatutnya berbincang terlebih dulu serta berusaha mendapatkan pandangan semua pihak sebelum merangka mekanisme pelaksanaannya.

Kajian teliti dan mendalam amat perlu supaya hasil dilaksanakan nanti tepat kepada punca permasalahan dan sekali gus mendorong kepada penyelesaiannya secara tuntas. Adalah sangat tidak wajar sekiranya kita mengharapkan penyelesaian dengan sekelip mata terhadap masalah yang berlaku. Namun sekiranya ‘ubat itu kena pada penyakitnya’ pastilah masalah ini dapat diatasi dengan jayanya.

Gesaan melulu tanpa mekanisme jitu dan kesediaan pihak guru pasti menimbulkan permasalahan baru. Sekiranya subjek pendidikan kesihatan reproduktif atau pendidikan seks ini dilaksanakan tetapi tidak mencapai objektif digariskan, maka guru pula yang akan dipersalahkan.
Cadangan penyelesaian akan datang pula pastinya melatih guru supaya memiliki kemahiran khusus dalam bidang pendidikan seks ini. Justeru, banyak pula kos yang akan dihabiskan bagi menyediakan latihan ini.

Ini tidak termasuk kos pelaksanaan subjek cadangan yang dikemukakan awal tadi. Maka di sini dapat dilihat, kebanyakan masalah yang berlaku dalam negara kita gagal diselesaikan dan pembaziran sumber negara berlaku. Puncanya adalah kegagalan mengenal pasti punca segala permasalahan yang timbul dan keduanya ‘memberi ubat yang salah kepada penyakit yang tidak berkenaan’.

MOHD ASHROF,
Shah Alam

Berita Harian Online: 23 April 2010

1 ulasan:

Cikgu Jorasmin berkata...

Salam. Memang perlu dibantah dan tidak wajar. Ada kes pelajar tahun dua mengirimkan surat kepada pelajar tahun 5 dengan menulis mimpi melakukan hubungan seks sehingga mengandung. Dia juga menyatakan rasa "cinta" kepada pelajar lelaki tersebut. Bayangkan umur 8 tahun sudah kenal mengenai hubungan kelamin...