KUALA LUMPUR 15 Jun - Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail menjelaskan, tujuan kerajaan mengubah kaedah pengajaran di tingkatan enam adalah untuk mengasah kemahiran berfikir di kalangan pelajar.
Beliau berkata, untuk itu, pelajar dikehendaki melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti di kelas sebagai salah satu cara untuk menilai prestasi mereka di sekolah.
'Contohnya, mereka akan menyertai aktiviti ala universiti seperti menghadiri kelas tutorial, menganjurkan seminar, melakukan kajian dan sebagainya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan kerajaan menjenamakan semula pendidikan tingkatan enam di negara ini supaya ia lebih bercirikan sistem universiti.
Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang memberitahu, kerajaan turut berhasrat mewujudkan sekolah khas bagi tingkatan enam seperti negara Brunei yang menubuhkan Pusat Tingkatan Enam (PTE) pada 2005.
Razali menambah, terdapat beberapa sekolah yang mengadaptasikan kaedah pengajaran bercirikan sistem universiti setakat ini, bagaimanapun, usaha ini perlu diperluaskan lagi pada masa hadapan.
"Tingkatan enam seharusnya menjadi platform untuk melatih para pelajar supaya mereka lebih berdikari dan dapat menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran di universiti,'' ujarnya.
Pendapat ini turut disokong oleh ahli akademik dan pakar sejarah, Tan Sri Prof. Dr. Khoo Kay Kim yang berkata, kebanyakan pelajar universiti akhir-akhir ini belum bersedia menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di universiti.
Kay Kim berkata, pelajar seharusnya mempunyai inisiatif untuk mencari data dan membuat kesimpulan sendiri dengan memanfaatkan kemudahan yang sedia ada di perpustakaan.
''Guru perlu sentiasa menghadiri kursus di samping mengadakan sesi dialog dengan pelajar bagi membantu meningkatkan daya pemikiran mereka,'' jelas beliau.
Beliau mencadangkan supaya tingkatan enam dikenali sebagai kelas Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) supaya pelajar lebih bebas dan tidak terlalu dikawal oleh peraturan sekolah.
''Pelajar perlu diberi hak untuk menguruskan sebahagian kegiatan mereka sendiri termasuk mengendalikan perpustakaan dengan baik,'' tambahnya.
Utusan Malaysia Online: 16 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan