PUTRAJAYA 11 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan gaji pegawai dan kakitangan kerajaan akan dibayar dalam dua ansuran sebulan mulai Ogos ini.
Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan harga bahan api.
‘‘Separuh pertama gaji akan dibayar pada pertengahan bulan setiap bulan manakala separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.
‘‘Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan,’’ kata Abdullah pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.
Turut hadir ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Menurut Perdana Menteri, langkah pembayaran gaji kakitangan awam dua kali sebulan itu diputuskan pada mesyuarat pasca Kabinet bersama pegawai-pegawai tinggi kerajaan.
‘‘Ia tidak dibincang dalam Kabinet tetapi dibincang dalam mesyuarat pasca Kabinet bersama pegawai tinggi kerajaan,’’ jelasnya.
Ditanya sama ada beliau menyarankan agar pihak swasta turut mencontohi tindakan tersebut, Abdullah berkata, langkah yang diambil itu adalah satu pendekatan yang positif.
Menurutnya, pembayaran gaji dua kali sebulan itu boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan para pekerja.
‘‘Saya anggap ini satu pendekatan yang baik kerana ia membantu pekerja kita untuk uruskan aliran tunai isi rumah. Ini adalah penting,’’ jelasnya.
Utusan Malaysia Online: 12 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan