Rabu, 25 Jun 2008

Selatan: Dana kursus guru RM12 juta setahun

JOHOR menerima peruntukan sebanyak RM12 juta setahun untuk penganjuran kursus dan latihan kepada guru dengan kos RM300 bagi setiap guru di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Datuk Maulizan Bujang, berkata guru tidak dipaksa untuk menghadiri kursus anjuran mana-mana unit, termasuk di Jabatan Pelajaran negeri, Pejabat Pendidikan Daerah atau Kementerian Pelajaran.

Bagaimanapun, katanya, guru harus memastikan mereka mematuhi pekeliling Latihan 2005 iaitu perlu menghadiri kursus tujuh hari setahun mengikut arahan yang dikeluarkan kementerian.

“Guru diberi peluang untuk memilih kursus yang bersesuaian dengan keperluan peningkatan profesionalisme mereka.

“Jadual waktu anjal akan disediakan untuk mereka bagi membolehkan sekolah sentiasa dalam keadaan terkawal dan tidak menjejaskan pengajaran dan pembelajaran,” katanya ketika menjawab soalan lisan Adam Sumiru (BN-Tanjung Puteri).

Johor setakat ini, mempunyai kira-kira 40,000 guru dan perlu menghadiri kursus mengikut keperluan sekolah masing-masing.

Maulizan berkata, guru tidak perlu menghadiri kursus yang tidak berkaitan dengan pentadbiran kecuali pentadbir seperti guru besar, pengetua atau penolong kanan.

Katanya, mula tahun ini, guru hanya dikehendaki hadir kursus di sekolah masing-masing kerana peruntukan kewangan diberikan kepada sekolah.

“Amalan biasa dilakukan sebelum ini, tidak lagi diteruskan iaitu guru tidak lagi perlu menghadiri kursus di tempat lain kecuali anjuran kementerian,” katanya.

Beliau berkata, kursus anjuran kementerian biasanya berkaitan pengenalan program atau perubahan kokurikulum baru dan ia tidak membabitkan sesi pengajaran serta pembelajaran di bilik darjah.

Berita Harian Online: 24 jun 2008

Tiada ulasan: