KEMENTERIAN Pelajaran perlu mengambil langkah segera mewujudkan Muzium Pelajaran Nasional sebagai pusat sehenti untuk pameran alam pendidikan negara, kata tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim.
Beliau berkata, muzium itu boleh dilengkapi pelbagai komponen seperti Galeri Tokoh Guru, Galeri Menteri Pelajaran, Galeri Pentadbir Pendidikan dan Galeri Nazir Sekolah.
Selain itu, katanya, Galeri Pendidikan Guru, termasuk Kirkby College dan Brimsford Lodge, Galeri Sekolah Lama (100 tahun), Galeri Teknologi Pendidikan serta Galeri Pendidikan Swasta.
Sebagai contoh menerusi Galeri Tokoh Guru, beliau berkata, semua penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan sejak 1975 akan diabadikan pada Wall of Fame dalam ruang Teachers Hall of Fame.
Bukan itu saja, katanya, pameran merangkumi maklumat mengenai profesion keguruan, antara lain perayaan Hari Guru, kriteria pemilihan Tokoh Guru, Ikrar Guru Malaysia, Lagu Guru Malaysia dan sajak Guru Oh Guru.
“Malah, muzium ini akan dimartabatkan sebagai pusat sumber rujukan keguruan kebangsaan di mana tersimpan hasil penyelidikan dan rekod berkaitan Guru Cemerlang bagi peringkat negeri, Guru Gemilang (kebangsaan) dan juga Guru Terbilang (serantau dan dunia).
“Muzium ini menjadi wadah bagi masyarakat pendidik meliputi guru, pelajar serta pentadbir pendidikan, mempamerkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan perguruan.
“Kompleks muzium ini akan menjadi destinasi penting warga pendidik dalam mahu pun luar negara untuk menyaksikan sejarah pendidikan tanah air,” katanya.
Walaupun kepentingan muzium sebagai wahana pendidikan amat jelas, Yahaya berkata, Kementerian Pelajaran sebagai kementerian terbesar dan penting masih belum memiliki muzium sendiri sebagai showcase yang boleh dimanfaatkan guru, pelajar, pelawat asing serta masyarakat pendidik antarabangsa.
Sebaliknya, beliau berkata, hampir semua jabatan kerajaan memiliki muzium masing-masing, termasuk Muzium Polis, Muzium Tentera, Muzium Telekom, Muzium Setem, Muzium Duit Bank Negara, Muzium Hutan dan Muzium Orang Asli.
Dalam konteks ini, katanya, cadangan penubuhan Muzium Pelajaran Nasional sudah diutarakan sejak 1980-an tetapi akibat masalah birokrasi, projek berkenaan tergendala sehingga kini.
“Penubuhan Muzium Pelajaran Nasional hendaklah di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memudahkan pelawat serta pelancong mengunjunginya.
“Lokasi paling sesuai serta strategik untuk menempatkan muzium ini ialah premis Sekolah Rendah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) di persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail.
“Ini kerana sekolah itu memiliki bentuk seni bina klasik zaman Victoria, di samping mudah dikunjungi pelancong asing yang menginap sekitar Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang.
“Sekolah sedia ada itu pula wajar dipindahkan ke tempat lain lebih sesuai berikutan kedudukan di tengah-tengah ibu kota yang sibuk dan bising tidak kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran.
“Kewujudan Muzium Pelajaran Nasional di tengah-tengah Kuala Lumpur secara tidak langsung menjadi simbol kehadiran dan kepentingan pelajaran kepada rakyat di negara ini,” katanya.
Berita Harian Online: 27 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan