Penetapan bidang itu disyaratkan Kementerian Pelajaran dalam penyediaan kertas cadangan bagi memohon peruntukan khas berjumlah sehingga RM500,000 bagi sekolah terbabit.
Pengetua Sekolah Menengah Teknik Cheras, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, Hamsi Jamhari, berkata subjek Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik adalah bidang kekuatan yang akan diberi keutamaan sekolah itu sejajar penarafan baru berkenaan.
Beliau berkata, prestasi cemerlang subjek berkenaan sejak tiga tahun lalu membolehkan sekolah itu mendapat Gred Purata Sekolah 2.3 bagi mata pelajaran terbabit.
“Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Malaysia dan politeknik akan diwujudkan bagi memantapkan kurikulum serta kecemerlangan pelajar,” katanya ketika dihubungi semalam.
Hamsi berkata, pasukan Kadet Bomba dan Bola Jaring juga akan dimantapkan menerusi peningkatan kemudahan serta profesionalisme jurulatih bagi menyerlahkan kecemerlangan dalam kokurikulum.
Mengenai autonomi yang diberikan, Hamsi berkata, mulai tahun depan, pihaknya akan menguatkuasakan pengambilan 10 peratus pelajar yang memiliki kemahiran berkaitan bidang kekuatan yang dibangunkan.
“Namun, bagi hal lain seperti dana dan tabungan sekolah serta pengurusan sumber manusia masih tertakluk kepada autonomi terbimbing di bawah Kementerian Pelajaran,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur, Roslan Madon, menyifatkan pemilihan sebagai Sekolah Kluster sebagai satu lagi motivasi bagi warga sekolah itu meneruskan kecemerlangan setelah menerima Anugerah Sekolah Cemerlang tahun lalu.
Katanya, peruntukan projek pembangunan sekolah menerusi penerimaan Anugerah Sekolah Cemerlang tahun lalu dimanfaatkan untuk menaik taraf kemudahan sekolah termasuk membina bilik khas bagi menyimpan 2,468 fail peribadi pelajar dan perabot, selain mewujudkan bilik Nur Kasih sebagai pusat pemulihan pelajar lembam.
Justeru, katanya, pemantapan kegiatan kokurikulum seperti ping pong, penubuhan mini orkestra Simfoni Muda dan program teater dalam Bahasa Inggeris akan diutamakan.
“Prestasi pasukan ping pong akan dipertingkatkan supaya mencapai kejayaan pada peringkat kebangsaan, manakala program teater Bahasa Inggeris yang sebelum ini berjaya menjadi naib johan peringkat kebangsaan akan terus digalakkan.
“Kami juga sudah mengenal pasti 114 murid yang berbakat bermain pelbagai alat muzik seperti piano dan gitar bagi merealisasikan hasrat menubuhkan orkestra seperti dirancang,” katanya.
Berita Harian Online: 13 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan