Isnin, 2 Jun 2008

Pertandingan debat jadi program kokurikulum

CYBERJAYA 1 Jun - Pertandingan debat dan perbahasan antara pelajar akan dijadikan salah satu program kokurikulum di semua sekolah menengah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong berkata, pertandingan tersebut dilihat mampu menggalakkan pelajar membina keyakinan diri selain menjadikan mereka berani menyuarakan pendapat mengenai sesuatu isu.

Menurut beliau, penganjuran pertandingan tersebut harus digalakkan kerana ia sebahagian daripada proses pendidikan.

"Kementerian akan memberi pengiktirafan terhadap pertandingan ini dan dijadikan salah satu program kokurikulum kerana ia dilihat mampu mendidik pelajar membina keyakinan diri,'' katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, kementerian akan menjalin kerjasama pertama dengan Persatuan Hokkien dalam penganjuran pertandingan perdebatan bahasa Hokkien pada masa akan datang.

Penganjuran program tersebut jelas beliau, berjaya melahirkan ramai pemidato terbaik untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

"Program ini sangat baik dan harus dijadikan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum dan saya tidak keberatan untuk menjadi penaung bagi projek ini.

"Pertandingan ini juga sebagai satu platform yang baik dalam menguasai bahasa tersebut selain meluaskan minda dan fikiran mereka tentang sesuatu isu semasa, hak sosial serta hubungan antarabangsa," katanya.

Utusan Malaysia Online: 2 Jun 2008



Tiada ulasan: