Sabtu, 7 Jun 2008

'Sejarah di sekolah rendah tak sesuai'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mendapati cadangan mewujudkan mata pelajaran Sejarah kepada pelajar sekolah rendah kurang sesuai dilaksanakan kerana pelajar akan dibebani dengan proses pembelajaran asas yang terlalu padat.

Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismail, berkata pada peringkat sekolah rendah, tumpuan kepada pelajar hanya untuk menguasai perkara asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira.

Beliau berkata, kementerian menyokong elemen itu tetapi bukan dengan mewujudkan mata pelajaran khusus, sebaliknya boleh diserapkan menerusi pendekatan bersepadu.

"Antaranya menyerapkan fakta sejarah menerusi kegiatan kokurikulum atau mata pelajaran lain bagi memastikan pelajar seronok dengan apa yang diceritakan tanpa perlu bimbang untuk mengulang kaji mata pelajaran berkenaan.

"Apa yang penting pelajar mempunyai asas kukuh dan mereka bebas untuk bermain seiring usia mereka tanpa dibebankan dengan terlalu banyak elemen pembelajaran," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang-Berita Harian 2007 (APC-BH), di Balai Berita, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Jabatan Pengedaran New Straits Times Press (M) Bhd, Tasman Harith Ismail; Pengarang Eksekutif (Berita), Mahfar Ali dan Pengarang Pendidikan, Zainor Said.

Pada majlis itu seramai 15 pelajar cemerlang yang pernah mengikuti Seminar Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima hadiah RM1,000 seorang, trofi APC-BH 2007, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Razali berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Sekretariat Pembinaan Negara Bangsa Pergerakan Pemuda Umno supaya mata pelajaran Sejarah diperkenalkan bermula di sekolah rendah bagi memastikan generasi muda benar-benar memahami asal-usul penubuhan Malaysia dan Perlembagaan negara.

Beliau berkata, pemahaman Sejarah juga boleh diceritakan guru pada sesi pembelajaran dengan menyelitkan unsur penceritaan pada mata pelajaran lain.

Dalam perkembangan lain, kajian keberkesanan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menunjukkan tiada sebarang perbezaan sebelum dan selepas pelaksanaannya.

Bagaimanapun, laporan menyeluruh hanya akan dikeluarkan dua kali setahun iaitu pada Jun ini dan pada akhir tahun dengan melihat keputusan peperiksaan pelajar yang akan dijadikan sebagai penanda aras sama ada mengekalkan atau memansuhkan pelaksanaan itu.

Berita Harian Online: 6 Jun 2008

Tiada ulasan: