Bagi saya sikap ditunjukkan pegawai terbabit dalam pengurusan guru agama amat tidak profesional. Apa salahnya bertemu dengan mereka yang ingin berjumpa, dengar masalah mereka hadapi dan jika perlu, beri kaunseling atau nasihat kepada mereka.
Namun, layanan yang saya terima ini mungkin boleh dijadikan panduan kepada Japim dalam memilih pegawai bagi menduduki unit berkenaan pada masa depan.
Saya tiba ke Japim Putrajaya seawal jam 10 pagi dan dimaklumkan petugas kaunter, pegawai bertugas yang ingin saya temui ‘sedang bermesyuarat’. Saya menunggu dengan penuh sabar dan setiap kali ditanya sehingga lewat petang, jawapan yang diberikan ‘sedang bermesyuarat’.
Saya menunggu sehingga jam 5 petang dan sekali lagi bertanya pegawai di kaunter dan jawapan yang diberikan, “pegawai tidak mahu ditemui dan sudah pulang”. Selepas enam jam menunggu, itulah jawapan yang saya terima.
Cukup malang kementerian mempunyai pegawai berpengetahuan agama yang tinggi tetapi bersikap sedemikian. Pegawai begini sepatutnya dihantar semula mengajar di sekolah terutama di pedalaman, supaya mengetahui perasaan guru atau ustaz yang datang dari jauh membawa masalah untuk diselesaikan, tiba-tiba dibiarkan pulang hampa.
Saya berkesempatan berbual dengan beberapa ustazah yang sudah lama berpisah dengan suami dan anak-anaknya sehingga beberapa tahun dan tidak dapat pindah, dan ada yang anak sakit pun tidak mendapat perhatian Japim walaupun mendapat pengesahan doktor pakar kerajaan.
Unit Hal Ehwal Agama, Japim perlu lebih terbuka dalam menangani masalah guru agama yang ingin berpindah. Pertukaran guru agama seharusnya diselesaikan dengan cara terbaik dan berhemah.
Jika tempoh perkhidmatan diambil kira kenapa ada guru baru berkhidmat yang tidak cukup tempohnya dapat bertukar ke Kelantan. Apakah alasan yang diberikan oleh Japim terhadap persoalan ini?
Seorang Isteri yang empat tahun bertugas di Kuala Lumpur terpaksa berulang alik ke Kelantan, setiap bulan untuk bertemu anak dan suaminya, namun tidak dapat bertukar. Kawan saya yang berkhidmat di pedalaman Sabah sudah berkhidmat 10 tahun tetapi tak dapat berpindah.
Sehubungan itu, saya menyarankan Kementerian Pelajaran dan Japim dapat menguruskan pertukaran guru sekolah rendah dan menengah menggunakan pendekatan sistematik bagi mengurangkan masalah tidak adil.
Selain itu pegawai yang bertugas perlu prihatin dengan masalah pertukaran dan boleh bertindak sebagai kaunselor, bukan yang memberi pelbagai alasan dan melarikan diri melalui pintu belakang bagi mengelak bertemu dengan pelanggan.
Kementerian perlu menukarkan pegawai terbabit atau tindakan disiplin diambil, sekiranya mereka tidak boleh menjalankan tugas dengan baik.
USTAZ KECEWA,
Kota Bharu, Kelantan.
Berita Harian Online: 2 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan