Pengarah IPBA, Dr Mohd Sofi Ali, berkata kajian pada peringkat nasional itu bertujuan membantu kementerian menganalisis situasi penggunaan bahasa Inggeris; mencari punca kepada peningkatan mahu pun kemerosotan penggunaan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara sekali gus melihat realiti sebenar penggunaan bahasa itu.
Beliau berkata, kajian menyeluruh yang pertama seumpamanya di negara itu dijangka dapat membantu kerajaan merumuskan tahap penggunaan bahasa Inggeris di kalangan warga sekolah serta mencari kaedah terbaik dalam usaha memperkukuhkan penguasaan bahasa berkenaan.
Katanya, kajian komprehensif itu perlu kerana sehingga kini tiada sebarang kajian yang dapat menyatakan realiti sebenar tahap penggunaan bahasa itu di kalangan warga sekolah.
“Pada masa ini, masyarakat membuat andaian penggunaan BI di kalangan warga sekolah semakin menurun. Bagaimanapun, tiada kajian khusus dibuat menyokong anggapan itu.
“Kajian perlu ada untuk mengetahui tahap kecekapan dan kemahiran guru serta pelajar menggunakan bahasa itu. Jika guru menjadi faktor kemerosotan, kita mesti lihat punca masalah ini serta mencari langkah menanganinya,” katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Antarabangsa Kedua Pembangunan dalam Pedagogi Bahasa Antarabangsa anjuran IPBA, di sini, semalam. Hadir sama Timbalan Pengarah IPBA, Satinah Syed Saleh.
Mohd Sofi berkata, selain mengenal pasti faktor peningkatan atau kemerosotan BI, kawasan atau situasi yang paling kerap mempraktikkan bahasa berkenaan serta kepelbagaian teknik pengajaran dan bahan pembelajaran guru juga akan diselidiki.
Berita Harian Online: 5 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan