Pengarah Pelajaran Sarawak, Julaihi Bujang, berkata sekiranya ramai guru-guru yang ingin memohon permit berkenaan masa dan tumpuan mereka sudah tentu terarah kepada perniagaan yang diusahakan.
Situasi ini katanya, bakal menambah beban kepada kerajaan ke arah membentuk dan melahirkan tenaga pengajar dan generasi muda berkualiti.
“Saya secara peribadi menghargai usaha, keiklasan dan kesungguhan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) membantu kakitangan awam menambah pendapatan dengan menceburi perniagaan kecil-kecilan untuk menampung pendapatan mereka.
“Ia amat kita hargai. Namun, hakikat yang tidak dapat dielakkan ialah, sekiranya ramai guru yang mengusahakan perniagaan ini menyebabkan mereka mudah hilang tumpuan terhadap usaha mendidik generasi muda,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Persidangan Pengurusan Pendidikan 2008 di sini, semalam.
Terdapat kira-kira 650,000 kakitangan awam yang berada dalam kategori pendapatan bulanan RM2,500 ke bawah.
Pemberian peluang itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat termasuk kakitangan awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Kerajaan akan mengeluarkan permit perniagaan kecil kepada rakyat berpendapatan rendah yang ingin menambah pendapatan mereka. Ia sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meringankan beban ekonomi rakyat berikutan kenaikan harga minyak.
Perniagaan kecil itu merangkumi seperti penjaja pasar tani, pasar malam dan di kawasan perumahan.
Bujang berkata, pengumuman itu juga secara tidak langsung akan menambah beban agensi kerajaan itu pada masa depan.
Namun, beliau mahu kakitangan awam termasuk guru menghargai kemudahan itu dan tidak menyalahgunakannya.
Selain itu, beliau mahu guru di Sarawak usah memohon pelepasan cuti tanpa gaji tanpa alasan munasabah.
“Ada guru gemar minta pelepasan cuti tanpa gaji dengan alasan mahu ikut suami ke luar negara dan sebagainya.
“Saya terpaksa tolak untuk kepentingan pelajar yang mungkin akan tertinggal sesi pembelajaraan tertentu akibat sikap tidak bertanggungjawab guru terbabit. Perkara ini harus dielakkan,” katanya.
Beliau berkata, hanya guru yang mengemukakan alasan yang munasabah akan diberikan pelepasan.
Berita Harian Online: 25 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan