Isnin, 2 Jun 2008

Murid sekolah teknik tidak penuhi syarat

SEBAGAI waris kepada pelajar Sekolah Menengah Teknik Butterworth, Pulau Pinang, saya ingin membuat aduan mengenai sikap tidak bertanggungjawab pegawai di Jabatan Pendidikan Teknikal Putrajaya.

Pegawai ini memberi kelulusan kepada pelajar yang tidak mempunyai syarat minimum untuk memasuki sekolah berkenaan.

Saya pernah membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan melalui aduan@moe.gov.my tetapi tiada tindakan diambil menyebabkan saya beralih arah kepada media supaya perkara seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Sikap segelintir pegawai yang membenarkan pelajar tidak mempunyai syarat minimum kelulusan untuk memasuki Sekolah Menengah Teknik, terutama ‘anak kawan-kawan’ boleh menjejaskan masa depan sekolah berkenaan.

Pengurusan Sekolah Menengah Teknik Butterworth, tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menerima pelajar yang tidak memenuhi syarat dan diberi keistimewaan pula untuk tinggal di asrama, sekali gus menutup peluang pelajar lain yang lebih layak untuk tinggal di asrama.

Apakah tindakan Pegawai Jabatan Pendidikan Teknikal ini wajar kerana membelakangkan arahan ketua beliau sendiri iaitu Pengarah Jabatan Pendidikan Teknikal yang mengarahkan agar hanya pelajar yang layak dan mencukupi syarat diterima masuk ke Sekolah Menengah Teknik.

Persoalan saya, sekiranya anak saya yang tidak mencukupi syarat ditetapkan dapat belajar ke Sekolah Menengah Teknik, sedangkan ada pelajar yang gagal memenuhi syarat, tetap diterima belajar, sekali gus boleh menjejaskan prestasi sekolah, sekiranya masalah itu dibiarkan berterusan.

Saya berharap kes yang berlaku di SM Teknik Butterworth adalah kes terpencil, dan berharap Jabatan Pendidikan Teknikal memandang serius masalah berkenaan supaya tidak berlanjutan.

ANTI SALAH

GUNA KUASA,

Teluk Air Tawar, Pulau Pinang.


Berita Harian Online: 2 Jun 2008

Tiada ulasan: