Rabu, 18 Jun 2008

Guru nafsu songsang

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

DUNGUN: Dengan upah antara RM30 hingga RM50 bagi sekali layanan, seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah di daerah ini dikatakan bebas menjadikan pelajar lelaki di sekolahnya sebagai tempat melampiaskan nafsu songsangnya sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, perbuatan keji guru berusia 37 tahun berasal dari Klang, Selangor, yang menjadikan kuarters guru sebagai tempat memuaskan nafsunya terbongkar selepas keluarga seorang pelajar lelaki yang pernah menjadi mangsanya membuat aduan polis, Sabtu lalu.

Difahamkan, keluarga pelajar tingkatan empat berusia 16 tahun berasal dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) itu membuat laporan di Balai Polis Kuala Jengai, Hulu Dungun, dekat sini, kira-kira jam 3.30 petang selepas mengetahui guru terbabit menjadikan anak mereka sebagai mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan keluarga pelajar terbabit yang mendakwa anak lelaki mereka menjadi mangsa seks luar tabii guru berkenaan.

Menurutnya, sebelum membuat laporan, keluarga mangsa pergi ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di sini, selepas dihubungi pengurusan sekolah berkenaan yang meminta mereka ke pejabat itu, kira-kira jam 10 pagi Khamis lalu.

Katanya, sebaik dimaklumkan kejadian itu oleh kakitangan PPD, keluarga mangsa yang terkejut dengan berita berkenaan bertemu anak lelaki yang tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Kuala Jengai, keesokan hari.

“Ibu mangsa yang tidak menyangka pengakuan anak lelakinya yang mendakwa pernah melakukan hubungan seks luar tabii kemudian sepakat bersama suaminya membuat laporan polis mengenai perlakuan tidak senonoh suspek,” katanya, semalam.

Beliau berkata, susulan aduan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bukit Besi, dekat sini, bergegas ke kuarters guru berkenaan dan menahan suspek yang kebetulan berada di kediamannya, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Menurutnya, guru itu kini masih ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek melakukan perbuatan itu di kuarters guru dalam kawasan sekolah berkenaan dan menjadikan wang sebagai umpan bagi memikat pelajar lelaki.

“Dia tinggal bujang bersama rakan sekerja di kuarters itu dan melakukan perbuatan sumbang bersama pelajar lelaki ketika bersendirian di kuarters berkenaan.

“Sebelum melakukan perbuatan itu, suspek yang bertugas di sekolah itu sejak hampir 10 tahun meminta pelajar lelaki yang ‘diminati’ ke kuarters berkenaan dan memberi upah antara RM30 hingga RM50 sebagai ganjaran bagi layanan diberikan,” katanya.

myMetro: 17 jun 2008

Tiada ulasan: