Itulah antara keluhan diluahkan guru terutama mereka yang sudah terlalu lama menyumbang khidmat dalam menyalurkan ilmu kepada anak bangsa selama ini. Suara mereka menjadi semakin lantang apabila kerajaan mengumumkan insentif kepada 35,000 guru siswazah yang kini berada dalam gred DG41 dan pernah berkhidmat sebagai guru bukan siswazah sebelum ini.
Seorang guru dari Kota Bharu yang hanya mahu dikenali sebagai Tan Ao, berkata ramai guru yang kini berada dalam gred DG44 dan sudah lama menyumbangkan khidmat selama hampir 20 tahun dalam gred DG41 sewajarnya turut diberi perhatian dalam Hadiah Pergerakan Gaji yang diumumkan kerajaan.
Katanya, jika perjuangan guru gred DGA29 yang melanjutkan pengajian diberi perhatian sehingga memperoleh Hadiah Pergerakan Gaji berdasarkan satu tahun kenaikan bagi setiap tiga tahun perkhidmatan dalam gred lama, guru DG44 pula seakan dianaktirikan kerana tidak mendapat pengiktirafan sama.
“Guru DGA29 yang naik ke gred DG41 hanya perlu menunggu tujuh tahun untuk ke gred DG44 berbanding kami dulu yang terpaksa menunggu sehingga 16 hingga 20 tahun untuk ke gred itu. Situasi itu menyebabkan pengalaman dan kekananan kami tidak diambil kira.
“Sewajarnya guru berpengalaman seperti kami diberi pertimbangan untuk ke gred DG48 dalam tempoh masa lebih singkat. Seperti kata pepatah, ‘tua itu emas’. Mereka inilah yang meneroka pendidikan negara sebelum generasi baru. Justeru, pembelaan kepada mereka wajar diberi perhatian,” katanya dalam kiriman e-mel kepada Berita Harian.
Tan berkata, jika dihitung semula, guru lepasan maktab perguruan yang kini berada di gred DG44 pada 2004 selepas menjadi guru DGA29 sebelum itu sudah layak berada dalam gred DG48.
Namun, katanya apa yang berlaku kini menjadikan kumpulan itu seumpama melukut di tepi gantang apabila dipinggirkan daripada insentif dan perhatian kementerian.
Senario berbeza pula diluahkan seorang guru dari Pasir Mas, Kelantan, M Razdan Abdullah, yang mahukan pembelaan turut diberikan kepada kelompok guru DGA32 hakiki yang kini berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan di sekolah.
Beliau berkata, kerajaan sudah memperkenalkan kenaikan pangkat secara time based kepada guru DGA29 ke DGA32 apabila sampai masanya sedangkan kumpulan itu kekal berperanan sebagai guru biasa di sekolah.
“Kerajaan sudah memberikan berita gembira kepada guru yang melanjutkan pengajian dan kebanyakan mereka adalah daripada kelompok guru baru. Namun, apa pula insentif dan perhatian yang diberikan kepada guru tua yang berada dalam jawatan DGA32 hakiki. Tidakkah kami juga memberikan sumbangan dalam profesion perguruan?” katanya.
Razdan berkata, lantaran itulah ramai guru yang menolak untuk dinaikkan pangkat sebagai Guru Penolong Kanan kerana hanya menikmati elaun tambahan sebanyak RM60 saja.
“Cuba bayangkan betapa ruginya berada di gred DGA32 hakiki berbanding DGA32 time based yang realitinya mendapat lebih banyak insentif seperti elaun pelajaran kritikal dan skim baucer tuisyen kerana mereka masih berperanan sebagai guru biasa.
“Sedarkah kementerian bahawa kebanyakan Guru Penolong Kanan di sekolah rendah sudah berada dalam dunia pendidikan selama lebih 25 tahun, malah ada yang sudah menghampiri zaman persaraan dan mungkin juga ramai tidak berkesempatan mengecapi jawatan sebagai Guru Besar,” katanya.
Beliau berkata, sepatutnya kerajaan menaik taraf Guru Penolong Kanan di sekolah rendah daripada gred DGA32 hakiki kepada DGA34, manakala Guru Besar pula dinaikkan ke satu gred baru iaitu DGA36 supaya perbezaan antara jawatan hakiki dan time based dapat diwujudkan.
Namun, bagi kumpulan guru yang bakal menikmati Hadiah Pergerakan Gaji yang akan berkuat kuasa bulan depan, berita itu menjadi hadiah paling berharga buat mereka.
Seorang guru yang sedang menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia, Khairul Nidzar Mohd Zaki, berkata insentif diumumkan pada sambutan Hari Guru baru-baru ini ternyata menguntungkan banyak pihak terutama guru yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun di sekolah rendah dan menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
“Ia sekali gus menunjukkan kementerian menghargai sumbangan dan pengalaman kami selama ini,” katanya.
Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, Selayang, Azura Mohd Nasir, pula berkata apa yang diberikan kerajaan kepada guru DG41 yang menyambung pelajaran selepas berkhidmat dalam gred DGA29 perlu diterima baik semua pihak.
Berita Harian Online: 2 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan