KUALA LUMPUR 12 Jun - Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bermula 2010 bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan dari segi kurikulum dan sistem peperiksaan sekolah.
''Kami akan buat perubahan dari segi kandungan kurikulum supaya ia menjadi lebih menarik dan seronok serta tidak membebankan pelajar.
''Kita nak wujudkan konsep 'pelajar berlari ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah' sebagai menunjukkan betapa mereka seronok dan teruja untuk menimba ilmu di sekolah,'' katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat daerah Hulu Langat di sini hari ini.
Alimuddin berkata, selain kurikulum, transformasi tersebut juga akan melibatkan perubahan kepada sistem penilaian supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan.
Menurutnya, melalui sistem penilaian baru itu, prestasi para pelajar akan dinilai sejak mereka berada di tahun satu lagi.
''Ini bermakna ketika pelajar-pelajar itu menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), peperiksaan mereka melibatkan silibus yang kecil sahaja kerana mereka telah dinilai sejak awal lagi,'' jelasnya.
Beliau memberitahu, sistem yang bakal dilaksanakan itu akan menggunakan sistem pengumpulan mata seperti dilaksanakan di universiti.
Menurut Alimuddin lagi, tahun ini sebanyak 50 sekolah telah dipilih sebagai perintis bagi melaksanakan transformasi tersebut dan ia akan diteruskan kepada 500 buah lagi pada tahun hadapan serta ke seluruh negara menjelang 2010.
Beliau berharap, melalui mekanisme transformasi itu, lebih ramai pelajar yang bermutu, berilmu pengetahuan dan berdisiplin dapat dilahirkan menjelang tahun 2020.
''Pelajar-pelajar yang berada di peringkat sekolah sekarang ini akan berusia antara 20 hingga 30 tahun menjelang 2020 dan produktiviti mereka sangat diperlukan untuk memajukan negara,'' katanya.
Utusan Malaysia Online: 13 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan