Isnin, 2 Jun 2008

Kementerian peka isu kenaikan gred

KEMENTERIAN Pelajaran sentiasa mengambil berat dan memandang serius semua isu berkaitan guru termasuk pelbagai rungutan berhubung masalah kenaikan gred perkhidmatan yang kini menjadi satu topik hangat di kalangan warga pendidik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian sedang memperincikan setiap permasalahan terbabit dan dalam proses menyiapkan kertas cadangan untuk dibentangkan ke peringkat kerajaan bagi penilaian seterusnya.

Beliau berkata, beberapa kelemahan atau kekurangan yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan guru mengenai isu itu, memang sudah sampai ke pengetahuan kementerian dan pihaknya berjanji akan sentiasa memperjuangkan hak guru secara berterusan mengemukakan cadangan penambahbaikan untuk perhatian kerajaan.

Namun, katanya, rungutan kebanyakan guru yang berada dalam gred DG44, lantaran dakwaan mereka bahawa kebajikan dan tempoh perkhidmatan mereka tidak diambil kira, kementerian meminta kumpulan itu bersabar dan memberi peluang kepada kementerian untuk meneliti perkara itu.

“Kementerian memang sudah menduga apabila kerajaan mengumumkan insentif kepada guru bukan siswazah yang menyambung pengajian dan dimasukkan ke gred DG41, pasti akan ramai kumpulan guru lain akan menyuarakan rasa tidak puas hati dan perkara ini amat sukar ditangani.

“Guru gred DG44 sepatutnya sedar bahawa mereka juga mendapat manfaat daripada pelbagai peluang kenaikan pangkat yang dibuka termasuk peluang menjadi pengetua dan berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri dengan kenaikan lebih cepat ke gred DG48 sekiranya ada kekosongan.

“Peluang itu terbuka kepada mereka sekiranya semua syarat dipenuhi. Malah, gaji serta kenaikan tahunan yang mereka peroleh lebih tinggi berbanding gred DG41. Namun, kementerian akui rasa tidak puas hati ini timbul kerana ada di kalangan mereka yang pernah menjadi guru bukan siswazah satu ketika dulu. Apapun, beri kementerian masa, bersabarlah,” katanya ketika ditemui Berita Harian di pejabatnya, di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk melihat dan memberi ganjaran kepada semua peringkat gred bukan sesuatu yang mudah kerana skim perkhidmatan pendidikan sangat rumit kerana membabitkan terlalu banyak gred dengan kaedah kenaikan berbeza.

Justeru, katanya, kerajaan pasti mengambil masa agak lama untuk memberi imbuhan atau insentif kepada semua kumpulan, namun kementerian percaya perkara itu sedang dalam perhatian kerajaan.

“Sabar. Kementerian yakin kerajaan akan beri lagi. Jika dilihat kepada rekod sebelum ini, setiap kali Hari Guru, akan ada pengumuman baru atau hadiah berharga yang kerajaan beri kepada golongan pendidik. Mungkin tahun depan, akan ada ganjaran lain untuk kumpulan lain pula. Kita tunggu dan lihat,” katanya.

Alimuddin berkata, pengumuman kerajaan untuk mengambil kira tiga tahun perkhidmatan dalam skim bukan siswazah sebagai setahun perkhidmatan dalam gred DG41 memang sudah lama diperjuangkan kesatuan guru dan pihak kementerian.

Malah, katanya, jika dirujuk kepada cadangan asal, kementerian memohon supaya tempoh perkhidmatan guru di skim bukan siswazah diambil kira sepenuhnya untuk kenaikan ke gred baru dalam skim siswazah.

“Namun, apabila penelitian semula dibuat, kementerian mengubah cadangan itu kepada hanya setahun kenaikan bagi setiap tiga tahun kerana bimbang akan lebih banyak pihak lain yang tidak berpuas hati terutama guru yang sedang berada dalam gred DG44.

“Bayangkan, jika cadangan sebelum ini dilaksanakan, guru yang sudah berkhidmat selama 10 tahun di gred DGA29, akan terus naik ke gred DG44, melompat daripada gred DG41 kerana tempoh perkhidmatan sebelum ini diambil kira sepenuhnya.

“Jika itu berlaku, ramai yang akan tidak berpuas hati. Atas dasar itulah kementerian memutuskan untuk memberi hanya satu tahun kenaikan bagi setiap tiga tahun perkhidmatan. Itupun, ramai juga yang tak puas hati. Kami sudah menduga ia akan terjadi,” katanya.

Beliau turut meminta warga guru memahami kekangan kewangan dihadapi kerajaan untuk memberi insentif kepada semua kumpulan kerana membabitkan jumlah guru sangat ramai.

Namun, katanya, kementerian masih terus mencuba dan meminta kerajaan melihat masalah dibangkitkan guru di gred DG44 dan percaya akan ada berita baik diumumkan kerajaan pada masa akan datang.

Katanya, setakat ini, kementerian sudah pun memberi insentif kepada guru di gred DG44 dengan peluang lebih cepat dilantik sebagai Guru Cemerlang dan ke gred lain lebih tinggi berdasarkan kekosongan jawatan.

Selain itu, Alimuddin turut mengumumkan kenaikan pangkat dan gred yang akan diperoleh semua guru dan pendidik di peringkat matrikulasi, institusi pendidikan guru, Institut Aminuddin Baki dan tingkatan enam.

“Kementerian akan umumkan secara rasmi tidak lama lagi. Semua guru dan pendidik dalam kelompok itu akan dapat kenaikan gred. Apa grednya, tunggu pengumuman kementerian,” katanya.

Berita Harian Online: 2 Jun 2008


Tiada ulasan: