Jumaat, 6 Jun 2008

Pengajian agama di IPT tak seimbang

USTAZ dan ustazah yang dilahirkan melalui institusi pengajian tinggi (IPT) hari ini sama ada dalam atau luar negara tidak menjadi seperti seorang ustaz atau ustazah yang sepatutnya. Contohnya, kita pernah digemparkan keahlian seorang ustazah dalam gerakan Ayah Pin beberapa tahun lalu.

Kita juga pernah melihat atau mendengar perihal guru agama terbabit dengan pelbagai gejala sosial termasuk menghisap dadah dan tidak kurang ditangkap khalwat.

Antara punca berlaku perkara ini adalah disebabkan sistem pembelajaran peringkat tinggi yang tidak seimbang atau dengan kata lain tidak merangkumi ketiga-tiga cabang ilmu iaitu Usuluddin, Fekah dan Tasauf.

Hari ini, ilmu agama yang diajar di IPT diasingkan mengikut pecahan. Contohnya, jika seseorang itu mengambil Syariah atau Fekah, maka dia tidak akan mempelajari ilmu Usuluddin. Maka, ilmu agama yang dipelajari ini tidak seimbang.

Pada hal, ilmu Fekah menyentuh mengenai perundangan Islam dan tatacara dalam beribadat dan ilmu Usuluddin menyentuh hal berkaitan mengenal Allah. Jika seseorang itu banyak ilmu dalam bidang Fekah tetapi tidak sempurna mengenali Allah, maka kelebihan ilmu tidak akan menampung kekuatan iman.

Kita dapat lihat tokoh ulama terdahulu yang tidak hanya menguasai satu bidang ilmu, malah lebih daripada dua cabang ilmu. Disebabkan itulah tokoh agama terdahulu hebat dari segi akidah dan aspek ibadat.

Saya boleh memberi jaminan hampir 70 peratus bahkan mungkin lebih bakal graduan bidang syariah atau Fekah tidak memahami sifat Allah yang 20. Oleh itu, Kementerian Pengajian Tinggi wajar mengkaji semula sistem pembelajaran ilmu agama di IPT supaya seimbang.

SAPUTRA ZAMAN,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya.

Berita Harian Online: 5 Jun 2008

Tiada ulasan: