Rabu, 25 Jun 2008

Pelbagaikan bahan pembelajaran dalam pengajaran

SEREMBAN 23 Jun - Usaha untuk meningkatkan kecemerlangan akademi di kalangan pelajar perlu dipelbagaikan terutamanya dengan menggunakan akhbar sebagai medium utama untuk tujuan pembelajaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim berkata, ini kerana akhbar bukan sahaja tertumpu kepada berita semasa malah mengandungi pelbagai maklumat untuk tujuan pembelajaran.

Beliau turut menyarankan guru-guru agar mencari kaedah terbaru dalam menarik perhatian pelajar untuk terus belajar sama ada mengunakan akhbar atau pun melalui laman web dan sebagainya.

"Kita melihat akhbar pada masa kini bukan saja menyalurkan maklumat terkini mengenai hal ehwal semasa sama ada dalam mahupun luar negeri malah ia juga boleh dijadikan sebagai bahan untuk mengulang kaji pelajaran dan bahan pembelajaran di sekolah seharian.

"Justeru saya menyarankan agar guru-guru dan pelajar dapat mengunakan sepenuhnya akhbar sebagai bahan untuk mengajar di samping mengunakan kaedah-kaedah terkini untuk menarik perhatian pelajar termasuklah pengunaan akhbar dan laman web," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tajaan Akhbar Utusan Malaysia untuk 16 buah sekolah DUN Lenggeng di Sekolah Kebangsaan Sungai Machang Hilir di sini hari ini.

Mustafa kemudiannya menyerahkan tajaan akhbar berjumlah RM3,000 kepada Eksekutif Jualan Utusan Malaysia Negeri Sembilan, Shahrull Azhar Ya'cob.

Beliau turut memuji langkah Utusan Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak sekolah untuk membantu para pelajar dalam meningkatkan mutu pembelajaran khususnya dalam tulisan jawi yang kini semakin dilupakan.

Utusan Malaysia Online: 23 Jun 2008

Tiada ulasan: