SAYA merasa terpanggil menulis di ruangan ini kerana terharu dengan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Ahli Fikir dalam ruangan Forum, semalam.
Menurut Ahli Fikir, gaji pokok guru KAFA di Johor adalah RM612 dan setelah ditolak RM69, gaji bersih mereka sebulan hanyalah RM543. Tidak dinyatakan pula kenapa dipotong RM69 itu tetapi saya rasa ia adalah potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso.
Sebelum ini, saya perhatikan sudah banyak kali guru-guru KAFA dari negeri-negeri lain mengeluh mengenai gaji kecil yang mereka terima setiap bulan.
Seingat saya, kerajaan baru Pulau Pinang menaikkan sedikit gaji guru KAFA di negeri itu sebanyak RM50 sehingga gaji guru meningkat kepada lebih RM550.
Di negeri lain, saya tidak pasti tetapi dari berita-berita yang pernah saya baca, gaji guru-guru KAFA di negeri lain adalah juga tidak munasabah mengambil kira kos kehidupan atau inflasi sekarang.
Bagi saya disebabkan gaji guru-guru agama negeri biasanya diuruskan oleh kerajaan-kerajaan negeri, sewajarnya para pemimpin di negeri terbabit lebih peka dengan masalah yang dihadapi oleh guru-guru KAFA.
Membiarkan mereka terus merintih untuk kelangsungan hidup pada ketika harga barangan melambung tinggi dan harga minyak beberapa kali naik, bukan satu perkara yang wajar dari segi agama dan kemanusiaan.
Dengan gejala moral remaja yang semakin membimbangkan sekarang, peranan besar guru-guru KAFA perlu dihargai dengan kerajaan negeri menaik taraf kehidupan mereka iaitu gaji yang mereka terima setiap bulan.
Apa salahnya gaji pokok mereka dinaik taraf sekali ganda supaya semangat guru-guru KAFA untuk mendidik anak bangsa juga lebih semangat.
Lagi pula berdasarkan tahap kelulusan guru-guru agama yang mengajar di sekolah-sekolah agama rakyat yang kebanyakan lulusan agama dari Mesir, saya rasa wajar gaji yang dibayar kepada mereka dinaikkan.
Saya rasa jabatan agama Islam negeri-negeri perlu membawa masalah gaji guru-guru KAFA itu kepada perhatian Menteri Besar untuk dibincangkan secara mendalam agar nasib mereka lebih terbela.
Guru-guru KAFA yang terhimpit dengan masalah kewangan mungkin tidak berani bersuara secara terbuka kerana khuatir diambil tindakan disiplin tetapi keluhan demi keluhan yang mereka kirim melalui media, tidak seharusnya diketepikan begitu saja.
Mereka juga memiliki anak-anak dan keluarga yang perlu ditanggung. Jika Adnan Yunus dari Selayang, Selangor (Forum 9 Jun lalu) merintih gaji RM5,500 sebulan pun tidak cukup, apa sangatlah yang boleh dibelanjakan dengan gaji sekadar RM500 atau RM600.
Kita tidak harus membiarkan guru-guru agama terbabit mengajar anak kita pada ketika mereka sendiri dihimpit oleh masalah kewangan yang sepatutnya sudah lama pihak berkaitan atasi.
Tetapi saya lihat, keluhan demi keluhan yang dikirimkan oleh guru-guru KAFA dalam ruangan Forum ini, tiada siapa peduli. Kasihanilah mereka.
Jika kerajaan negeri memberi alasan tidak mampu, wajar para wakil rakyat memperjuangkan nasib guru-guru KAFA termasuk mengesyorkan agar gaji mereka dibayar oleh Kementerian Pelajaran.
ZAMBERI NAZRI
Kajang, Selangor
Utusan Malaysia Online: 13 Jun 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan