Rabu, 25 Jun 2008

Guru kerap bertukar jejas prestasi pelajar

SEBAGAI bapa kepada pelajar kelas aliran Arab di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Slim River, Perak, saya kecewa dengan tindakan pengurusan sekolah dalam melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran.

Kelas aliran Arab seprti dianaktirikan dengan alasan guru tidak mencukupi. Subjek penting seperti Bahasa Melayu, Matematik, Pendidikan Islam atau Bahasa Arab Komunikasi sering kali bertukar guru.

Akibatnya, prestasi pelajar merosot berbanding kelas aliran biasa. Pelajar harapan yang dulunya memperoleh gred A turun mendadak ke B atau C. Guru di sekolah itu menyalahkan pelajar, kononnya malas mengulangkaji seolah-olah ilmu yang terkandung dalam buku teks dan alat bantu mengajar (ABM) yang lain akan menyerap masuk sendiri ke dalam otak pelajar tanpa diajar guru.

Perkara itu berlanjutan selama dua tahun. Pengurusan sekolah bersikap seolah-olah tiada apa berlaku. Saya tidak mahu sekolah yang dulunya cemerlang dari segi akademik dan sukan dimusnahkan oleh pengurusan yang tidak peka.

Saya mengharapkan Jabatan Pelajaran Daerah mengenal pasti punca masalah di sekolah itu bagi memastikan pelajar, terutama aliran Arab, tidak menjadi mangsa sikap lepas tangan pihak bertanggungjawab.

BAPA KECEWA,
Slim River, Perak.

Berita Harian Online: 24 Jun 2008

Tiada ulasan: