Oleh Norliza Abdullah
Kerajaan kena segera selesai sistem kenaikan pangkat terutama isu skim siswazah
KEMENTERIAN Pelajaran menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat hingga menetapkan semua guru sekolah menengah hendaklah di kalangan siswazah, manakala 50 peratus guru di sekolah rendah diwajibkan memiliki ijazah sarjana muda. Sasaran ini perlu dicapai menjelang 2010.
Tetapi sejauh mana nasib guru selepas menyambung pelajaran? Garis panduan yang jelas ditawarkan ialah menerusi skim sedia ada guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG), sebelum ini Maktab Perguruan, yang mendapat skim DGA29 dipertimbangkan untuk kenaikan gred secara 'time base' selepas berada dalam skim siswazah, iaitu dari Gred DG41 kepada DG44.
Exco Pusat Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia (Pendidik), Adimas Halim Abdul Manaf, berkata ini memberi peluang guru lepasan maktab terus mendapat DG41 berbanding DGA29 sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya, apabila gred guru bukan siswazah DGA32 diperkenalkan pada awal 2000, guru yang tidak melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah pertama juga berpeluang mendapat kenaikan pangkat daripada DGA29 kepada DGA32.
Menerusi pengenalan DGA32 itu, jurang kenaikan imbuhan bagi guru lepasan IPG selepas 10 tahun berkhidmat lebih tinggi berbanding guru yang melanjutkan pelajaran di universiti.
Perbezaan itu menyebabkan munculnya kata-kata sinis di kalangan warga pendidik yang antara lainnya berbunyi: 'Taraf guru yang sambung belajar di universiti lebih rendah berbanding rakan mereka yang tidak berbuat demikian kerana secara automatik selepas 10 tahun dapat DGA32 dengan perbezaan gajinya lebih banyak berbanding guru siswazah.'
Inilah masalahnya dan sudah semestinya tidak selari dengan dasar Kementerian Pelajaran yang mahu guru terus belajar menerusi sasaran untuk menjadi siswazah.
Bagaimanapun, Adimas Halim yang juga Pengerusi Perhubungan Pendidik Selangor berkata, kata-kata sinis sesetengah pendidik yang begitu cintakan kerjaya murni ini, tidak sepatutnya terkeluar kerana tugas yang mulia tidak seharusnya diukur dalam bentuk kenaikan pangkat mahupun imbuhan dalam bentuk kebendaan semata-mata.
Tetapi itulah hakikatnya, setiap pengorbanan serta pelaburan yang sudah dicurahkan pastinya sebagai manusia masing-masing mengharapkan imbuhan.
Sistem serta prosedur kenaikan pangkat serta serapan untuk guru yang sudah melanjutkan pengajian itu perlu dilaksanakan dalam satu sistem yang jelas dan telus daripada kementerian menerusi perbincangan teliti dengan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Ia penting kerana setiap mereka yang sedang atau bercadang untuk melanjutkan pengajian sudah mendapat gambaran jelas mengenai imbuhan yang bakal diterima berdasarkan kekosongan atau keperluan mengikut keperluan semasa.
Adimas Halim berkata, masing-masing kumpulan pendidik mengharapkan inisiatif yang lebih dan pengharapan itu disertakan dengan pelbagai persediaan, termasuk mengambil keputusan melanjutkan pengajian daripada lulusan lepasan Maktab Perguruan sebelum ditukar kepada IPG ke peringkat universiti.
Semua usaha itu katanya, mengharapkan imbuhan. Berhadapan dunia tanpa sempadan, semua insan mengejar pangkat dan harta. Kebendaan menjadi satu kemestian.
"Begitu pun, tidak semua yang melanjutkan pelajaran itu benar-benar ikhlas berbuat demikian sebagai usaha menambah nilai diri meningkatkan ilmu untuk dikongsi bersama.
"Pastinya, pahit jerih serta usaha yang dicurahkan sepanjang tempoh pengajian di universiti mendapat imbuhan setimpal. Itulah hakikatnya, setiap usaha serta pelaburan yang dibuat pastinya mengharapkan pulangan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pihaknya begitu peka mengenai rungutan di kalangan guru siswazah berhubung kelewatan untuk dinaikkan pangkat yang lebih tinggi selepas menamatkan pengajian.
Bagaimanapun, beliau berkata, segala pemasalahan itu bersifat sementara kerana kementerian sentiasa mengemaskinikan data berkaitan dari semasa ke semasa. Imbuhan pastinya ada dan mereka diminta bersabar.
Malah, isu berkaitan sering dibangkitkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dengan mendakwa kira-kira 70,000 guru berhadapan masalah seumpamanya sehingga menjejaskan moral mereka.
Walaupun wujud kelemahan dari segi penyelarasan sedia ada, Alimuddin berkata, kementerian tetap meneruskan usahanya dalam meningkatkan profesion perguruan dengan menggalakkan lebih ramai warga pendidik melanjutkan pengajian.
Program pembelajaran sepanjang hayat itu sejajar dengan saranan kerajaan menggalakkan tenaga kerja sedia ada meningkatkan daya saing dalam memacu pembangunan negara dalam melahirkan modal insan.
"Berdasarkan unjuran, kementerian menetapkan semua guru yang mengajar di sekolah menengah adalah daripada kalangan siswazah, manakala 50 peratus guru di sekolah rendah diwajibkan memiliki ijazah sarjana muda.
"Sasaran ini perlu dicapai menjelang 2010. Berdasarkan kepada unjuran berkenaan kementerian perlu meningkatkan usaha menggalakkan lebih ramai guru melanjutkan pelajaran," katanya.
Malah Alimuddin berkata, bagi memastikan program yang akan diambil guru memenuhi keperluan semasa, permohonan perlu dikemukakan kepada ketua jabatan iaitu guru besar atau pengetua.
Beliau mengharapkan kepada semua pendidik untuk terus menabur bakti dengan penuh bersemangat untuk mendidik generasi muda sebagai pelapis pemimpin akan datang. Imbuhan juga antara faktor penting sebagai pendorong selain meningkatkan motivasi serta semangat kerja yang tinggi.
Katanya, semua sekolah menggalakkan guru bukan siswazah melanjutkan pengajian masing-masing dengan memilih program yang dapat memenuhi keperluan semasa.
Ini katanya, termasuk memberi tumpuan khusus kepada program kritikal yang dapat memenuhi kekosongan guru yang bersara dan jumlah pelajar yang semakin meningkat berdasarkan pertumbuhan penduduk.
"Unjuran dari segi keperluan penting kerana kementerian dapat memantau setiap program yang diambil dan pemantauan sedemikian memudahkan lagi usaha menyerapkan mereka ke gred yang lebih tinggi selepas menamatkan pengajian," katanya.
Sektor pendidikan sememangnya memerlukan guru dalam bidang kritikal antaranya sains, matematik dan bahasa Inggeris serta pengetahuan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Berdasarkan kepada keperluan itu, kementerian boleh mengambil kira dengan memberi keutamaan kepada mereka yang berada dalam bidang berkenaan untuk melanjutkan pengajian masing-masing. Penetapan itu penting bagi mengelak jumlah lambakan guru siswazah yang mana sebahagian besar daripada mereka gagal diserapkan ke dalam gred yang lebih tinggi.
Begitu juga dengan proses pemilihan guru untuk mendalami bidang ICT, ia tidak semestinya membabitkan mereka yang mengajar dalam bidang berasaskan sains dan teknologi semata-mata kerana kemahiran serta pengetahuan ICT memerlukan mereka yang benar-benar minat.
Ada guru bahasa Melayu atau pendidikan jasmani mempunyai kesungguhan yang tinggi mendalami ilmu ini, wajar jika pihak pengurusan sekolah memberi peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan.
Ia adalah satu keputusan yang adil. Pemilihan guru juga perlu dilaksanakan secara telus. Beri kepada mereka yang minat pasti hasilnya lebih membanggakan.
Berita Harian Online: 4 Jun 2008
Khamis, 5 Jun 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan