Isnin, 2 Jun 2008

Usaha bersepadu tangani masalah pelajar

SUNGGUH memeranjatkan apabila membaca laporan akhbar ini, mengenai tindakan kurang ajar tiga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Segamat, Johor yang ditahan polis selepas memaksa seorang pelajar perempuan membuka pakaian sebelum merakam payu daranya menggunakan telefon bimbit.

Lebih memeranjatkan lagi apabila mengetahui bahawa kejadian itu berlaku pada Februari lalu di dalam stor sekolah ketika kejohanan sukan sekolah berlangsung.

Tidak cukup gambar pelajar perempuan itu diambil separuh bogel, pelajar lelaki berkenaan turut meraba seluruh badan mangsa dan gambar yang diambil disebar di daerah ini melalui khidmat pesanan multimedia (MMS) kepada orang ramai, termasuk tunang mangsa.

Lebih parah apabila mangsa diugut supaya tidak memecahkan rahsia perlakuan sumbang mereka ini kepada sesiapa.

Sebagai seorang manusia, sesiapa saja yang membaca berita ini pasti akan berasa cukup marah dan mengutuk tindakan luar batasan seperti ini kerana tindakan biadab pelajar ini melampaui had moral, etika dan keagamaan.

Apakah agaknya yang terfikir dalam pemikiran pelajar itu pada masa mereka melakukan kerja terkutuk itu? Mana pergi pertimbangan agama mereka, mana hilangnya didikan budaya, adab dan sopan santun.

Tidak keterlaluan kalau dilabel mereka ini sebagai ‘penjenayah’ kerana mengambil kesempatan di atas kelemahan perempuan.

Jika diamati sedalam-dalamnya akan Falsafah Pendidikan Negara, sistem pendidikan di Malaysia berteraskan kepada matlamat untuk melahirkan insan seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.

Selain itu, bangsa Malaysia yang berilmu dan berakhlak mulia turut diberi penekanan sebagai produk yang diharapkan mampu menyumbang kepada kemakmuran negara. Namun, apa yang dilakukan pelajar terbabit tidak menonjolkan ciri-ciri insan cemerlang seperti diharapkan dalam falsafah pendidikan negara.

Berdasarkan pengalaman penulis menjadi guru sebelum ini, sememangnya ada sebilangan pelajar yang ‘keras kepala’, tidak berdisiplin dan cukup sukar untuk dibentuk keperibadiannya. Mereka ini menjadikan sekolah bukannya dengan matlamat untuk berjaya akademik dan sahsiahnya.

Sebaliknya, sekolah menjadi medan untuk menunjukkan belang dan taring mereka di kalangan rakan. Kejadian seperti yang dilaporkan itu adalah satu kes disiplin yang parah selain daripada merokok, pukul, ugut, pergaulan bebas antara jantina dan sebagainya.

Dalam hal ini, penulis meminta semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan maruah pelajar perempuan itu dibela dan mengelak kes serupa berlaku pada masa akan datang. Diharapkan pelajar ini jika terbukti bahawa mereka bersalah akan didakwa dan dihadapkan ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada diri mereka dan pelajar lain.

Semoga pelajar yang terbabit dan masyarakat sedar bahawa kita tidak seharusnya berundur kepada sifat ‘barbarian’ atau orang zaman batu tetapi perlu lebih matang dalam bertindak dan berfikir.

Pihak sekolah yang terbabit pula perlu bertanggungjawab kerana kejadian itu berlaku dalam kawasan sekolah. Kawalan lebih ketat perlu dilaksanakan di persekitaran sekolah pada sepanjang masa bagi mengelak penyalahgunaannya oleh pelajar mahu pun pihak luar.

Badan Pengawas sekolah perlu lebih diaktifkan peranannya bukan sekadar menjadi ‘mata-mata’ sekolah bahkan sebagai pembimbing rakan sebaya yang berkesan kepada rakan pelajar yang lain.

Sekolah juga boleh mengikuti langkah sesetengah sekolah lain yang aktif mengadakan program keagamaan seperti bertadarus al-Quran, ceramah dan program agama dan moral, mengedarkan risalah berkaitan nilai murni dan sebagainya.

Ibu bapa pelajar pula perlu lebih bijak mendidik anak-anak. Walaupun mungkin tanggungjawab pendidikan itu diletakkan kepada pihak sekolah, tidak dapat dinafikan bahawa apa yang dipelajari atau dididik di rumah adalah lebih besar ertinya dalam membentuk keperibadian anak yang sempurna.

Kawal tingkah laku anak, ambil tahu ke mana mereka pergi dan dengan siapa. Sememangnya anak tidak suka dikongkong, tetapi kalau kebebasan melampau diberikan ibu bapa, padahnya anak akan terpengaruh dengan gejala negatif yang dibawa rakan-rakan sebaya.

Lengkapkan anak dengan didikan agama, moral dan adab sopan supaya nanti tidak akan ada ibu bapa yang menepuk dahi sambil menyebut ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Kepada pelajar pula, sememangnya zaman remaja ini adalah zaman yang mengasyikkan dan menyeronokkan kerana anda mula beralih daripada usia kanak-kanak kepada dewasa. Pelbagai ‘eksperimen’ tingkah laku anda laksanakan sebagai usaha mencari erti kehidupan dan mematangkan diri.

Anda turut bertanggungjawab kepada diri sendiri. Fikiran anda sudah boleh membezakan mana yang ‘hak’ dan mana yang ‘batil’. Pilihlah jalan kehidupan yang sebaiknya demi kebahagiaan hidup pada masa depan.

Jika perlukan bantuan dan sokongan mintalah tanpa segan silu daripada ibu bapa, keluarga, guru mahu pun masyarakat sekeliling. Semoga pisang tidak berbuah dua kali.

KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,

La Trobe University,

Melbourne, Australia.


Berita harian Online: 2 Jun 2008


Tiada ulasan: