Jumaat, 1 Ogos 2008

Melentur Temuan cerdik ilmu


Ahmad Sharifu-din Kassim tekun mengajar Kelas Dewasa Untuk Ibu Bapa Orang Asli Pribumi (Kedap) Fasa 2 di Sekolah Kebangsaan Tekir, semalam.


SEREMBAN 30 Julai -''A.R.N.A.B", baiklah murid- murid, tolong sebut ejaan ini," kata seorang guru Penolong Kanan 1, Sekolah Kebangsaan Tekir, Labu dekat sini, Ahmad Sharifu-din Kassim.

Bagaimanapun, seramai 25 murid-murid dewasa dari suku kaum Temuan di perkampungan berkenaan hanya memandang antara satu sama lain dan tidak kurang pula yang ketawa berdekah-dekah.

''Mereka baru hendak belajar mengenal huruf, mengeja, mengira dan menulis. Kadangkala lucu juga tetapi sudah menjadi tanggungjawab untuk mendidik ibu bapa di kalangan Orang Asli di sini untuk menjadikan mereka lebih berilmu," kata Ahmad, di sini hari ini.

Kelas yang sempit dan ruang yang panas di SK Tekir itu tidak menghalang kehadiran 25 murid dewasa ini dan apa yang lebih unik mereka datang bersama anak-anak yang masih kecil dan ada juga yang menyusu badan.

Tok Batin Kampung Orang Asli Tekir, Sturi Telan, 48 berkata, Kelas Dewasa Untuk Ibu Bapa Orang Asli Pribumi (Kedap) Fasa 2 ini bertujuan mendidik golongan 'tercicir' ini menjadi lebih mahir dan faham mengenai pendidikan di sekolah.

''Mereka yang datang ini tidak tahu membaca, apatah lagi menulis. Jadi kelas ini begitu penting dan patut diperluaskan," katanya yang mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kata Sturi, dahulu Orang Asli tidak memandang pendidikan sebagai elemen penting kehidupan kerana lebih menumpukan aspek kerjaya dalam belantara.

''Hari ini, Orang Asli perlu keluar dari kepompong pedalaman kepada dunia luar yang lebih mencabar dan ini perlu dilakukan tanpa batasan," katanya.

Sturi menjelaskan, ada di kalangan ibu bapa anak Orang Asli ini menjadi malu sendiri apabila anak-anak yang bersekolah di SK Tekir datang merujuk kepada mereka mengenai pelajaran yang tidak difahami.

''Macam mana hendak mengajar kalau ibu bapa Orang Asli sendiri tidak tahu membaca dan mengira. Bayangkanlah kalau itik bercakap dengan ayam. Huru hara jadinya," katanya tersenyum sendiri.

Lagipun kata Sturi, daripada ibu bapa ini membuang masa di sebelah petang adalah lebih baik mereka datang ke sekolah ini dan belajar bersama-sama guru yang sanggup berkorban untuk masa hadapan Orang Asli ini.

''Guru di sini cukup komited. Mereka balik lewat petang kerana kelas Kedap ini bermula dari pukul 1.30 petang hingga 4.30 petang. Kadang kala bila hujan, guru yang mengajar terpaksa tunggu lebih lama lagi.

''Pengorbanan guru di sini hendaklah 'dibayar' dengan kesungguhan kehadiran ibu bapa Orang Asli ke dalam kelas Kedap ini," ujarnya.

Sturi gembira dengan perkembangan itu selepas hampir sebulan kelas ini diadakan sudah ada di kalangan 25 murid dewasa yang sudah tahu mengeja, mengira dan menulis.

''Bolehlah sikit-sikit. Kalau mahu mengeja A.Y.A.M, mereka sudah tahu. Tidaklah hanya menyebut seperti sebelumnya," kata Sturi.

Tambahnya, masih ramai yang hendak menyertai Kedap ini tetapi tempat untuk memasuki kelas ini hanya dihadkan kepada 25 orang sahaja.

''Ramai belia dan orang dewasa yang tercicir dari pelajaran. Selepas Tahun 6, anak-anak mereka tidak bersekolah lagi dan membuat kerja mengutip hasil hutan. Perkara ini amat serius dan perlukan perhatian.

''Masa hadapan mereka terbiar dan program Kedap adalah penyelamat bagi masa depan mereka. Ia patut diperluaskan dengan penyertaan yang lebih banyak," tegas Sturi.

SK Tekir ini menempatkan 50 pelajar Orang Asli dan terletak jauh di pedalaman serta mempunyai 10 guru yang mendidik anak-anak dan murid-murid dewasa ini.

Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2008

Tiada ulasan: