Selasa, 12 Ogos 2008

Peluang naik pangkat ditambah

Oleh Syuhada Choo Abdullah


Struktur baru jadikan Kementerian Pelajaran lebih mantap, teratur dan fokus

PUTRAJAYA: Penstrukturan baru Kementerian Pelajaran menyediakan lebih peluang kenaikan pangkat apabila perjawatan tambahan diwujudkan dan perubahan gred kenaikan pangkat bagi 22 jawatan pelbagai gred, khususnya pengurusan tertinggi, ketua jabatan dan ketua bahagian membabitkan gred DG54 hingga Jusa A.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, berkata perubahan utama yang dapat dilihat daripada langkah itu ialah struktur organisasi akan menjadi lebih mantap dan fokus, sekali gus menyaksikan sektor pendidikan diketuai Ketua Pengarah Pelajaran Gred Turus III.

Justeru, pendidikan kini dibahagikan kepada tiga sektor utama iaitu Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan serta Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan yang masing-masing diketuai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Gred Jusa A.

"Walaupun secara kasar penstrukturan ini dilihat menyebabkan kehilangan tiga jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran sedia ada, jawatan itu tidak dimansuhkan, sebaliknya penyandangnya diberi kenaikan gred lebih tinggi.

"Sektor pengurusan akan diketuai Ketua Setiausaha Gred Turus III dan masih mengekalkan jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan (B) serta Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan (P) yang turut dinaikkan gred daripada Jusa B kepada Jusa A," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Berdasarkan struktur lama, gred jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sekolah) ialah Jusa B, diikuti Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Teknikal) Jusa A, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pendidikan Islam dan Moral) Jusa A, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Khas) Jusa C dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pendidikan Jasmani dan Sukan) DG54.

Berita Harian Online: 12 Ogos 2008

Tiada ulasan: