Selasa, 26 Ogos 2008

7,328 guru terbabit dalam kenaikan pangkat

KUALA LUMPUR: Lembaga Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) yang bersidang hari ini meluluskan pemangkuan dan kenaikan pangkat 7,328 guru.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, kelulusan itu antara lain membabitkan kenaikan pangkat Gred DG41 ke DG44 secara Khas Untuk Penyandang (KUP) melalui “time based’ seramai 3,091 orang, pemangkuan Gred DG41 ke DG44 secara KUP sebagai Guru Cemerlang (705 orang) dan pemangkuan Gred DG41 ke gred DG44 di Bahagian Pendidikan Guru dan Institut-Institut Perguruan (793 orang).

Sidek berkata pelaksanaan urusan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pelajaran dilaksanakan sepanjang masa menerusi pertimbangan oleh LKPPP yang bersidang sebulan sekali.

“Dalam tempoh bermula Januari hingga bulan lalu, LKPPP meluluskan pemangkuan dan kenaikan pangkat seramai 5,812 orang pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah meliputi pelbagai gred jawatan kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) serta gred utama,” katanya.

Beliau berkata selain kenaikan pangkat yang diumumkan itu, semua urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat berdasarkan insentif penambahbaikan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Addullah Ahmad Badawi sebelum ini akan dinikmati pegawai perkhidmatan pelajaran sebelum 31 Disember ini.

“Saya percaya insentif penambahbaikan dalam kerjaya perkhidmatan pelajaran ini dapat menjadi perangsang kepada semua guru dalam Perkhidmatan Awam untuk meneruskan sumbangan khidmat bakti dengan penuh dedikasi dan cemerlang dalam mendidik generasi muda negara,” katanya.

Ketika majlis pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Melaka pada 16 Mei lalu, Abdullah mengumumkan enam penambaikan berhubung dengan urusan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pelajaran. — Bernama

Tiada ulasan: