Isnin, 11 Ogos 2008

Graduan pendidikan terasa diketepikan

SAYA rasa terpanggil untuk menyuarakan isi hati bakal guru yang telah bertungkus- lumus untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam masa empat tahun. Sememangnya kami berasa agak gusar kerana penempatan di sekolah masih belum terjamin walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda kelas kedua atas.

Senario ini berlainan bagi lulusan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang terus diserap ke sekolah selepas menamatkan pengajian yang memakan masa hanya dua semester atau setahun.

Mereka ini tidak perlu menunggu lama, dengan alasan kerana pengajian KPLI ditanggung oleh kerajaan. Bagaimana dengan nasib kami yang sememangnya dilatih dan diasuh untuk menjadi pendidik selama empat tahun di universiti dengan dipasak tentang nilai-nilai murni kerjaya perguruan dan sememangnya memilih dunia pendidikan sejak awal lagi?

Di sini saya ingin menyuarakan kenapa masih diteruskan kursus KPLI ini (dahulu ada ura-ura untuk memberhentikan).

Bukankah kita tahu golongan yang memohon untuk mengikuti kursus itu terdiri daripada mereka yang terdesak setelah gagal mendapatkan pekerjaan yang dihajati. Mereka ini dahulunya semasa mengambil ijazah pertama (dalam pelbagai bidang) melabelkan bahawa kerjaya guru tidak profesional, tidak mencabar, tidak glamor ataupun kerjaya yang membosankan dan stereotaip.

Namun setelah tamat pengajian dan mendapati tiada masa depan dalam bidang kerja yang dihajati maka mereka berlumba-lumba memohon menjadi guru kerana sememangnya dibukakan peluang seluas- luasnya kepada golongan ini.

Maka lahirlah 'guru terdesak', 'guru gaji bulan' dan pelbagai gelaran yang diberikan kepada guru yang hanya mengajar separuh hati dan sambil lewa kerana tidak berminat dalam profesion perguruan apatah lagi menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Adakah golongan ini layak menjadi pendidik dan melestarikan apa yang terkandung dalam FPK?

Malangnya yang menjadi mangsa adalah pelajar sekolah yang terpaksa berhadapan dengan guru yang sebegini. Sesungguhnya inilah realiti guru KPLI walaupun ramai yang menidakkannya, tetapi dalam senyap mereka mengiakan.

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Akhirnya kerjaya guru terus diperlekeh, dipandang sebagai kerjaya pilihan kedua dan mencemarkan imej profesion perguruan kerana umum beranggapan kerjaya guru adalah kerjaya yang enteng dan sesiapa sahaja boleh memohon menjadi guru.

Adakah masih relevan kursus KPLI diteruskan dan bagaikan terus menghina kerjaya guru yang begitu mulia?

Saya menyeru kepada semua cerdik pandai dalam dunia pendidikan, kesatuan guru sama-sama fikirkan demi memartabatkan profesion perguruan seperti yang terkandung dalam teras kelima dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

BAKAL GURU

Kuala Nerang, Kedah

Utusan Malaysia Online: 11 Ogos 2008

Tiada ulasan: