JERANTUT: Guru Besar Cemerlang (GBC) yang baru dilantik diingatkan supaya meletakkan keutamaan untuk menjaga kecemerlangan pendidikan negara melalui pentadbiran dan pengurusan sekolah yang lebih sistematik.
Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, berkata kenaikan pangkat guru besar ke gred DGA38 itu perlu diterima sebagai satu cabaran dalam meningkatkan kecemerlangan akademik, moral dan disiplin pelajar selain menjaga keceriaan persekitaran sekolah.
"GBC harus sentiasa menjaga kualiti pentadbiran dan pengurusan di sekolah masing-masing dengan merancang, bergerak dan berfikiran lebih sistematik serta berkesan di samping tidak melupakan aspek kepimpinan yang disegani dan tegas," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan 83 GBC DGA38 Kumpulan kedua yang menerima surat perlantikan di sini, kelmarin.
Abdul Aziz berkata, GBC perlu sedia melakukan perubahan serta meningkatkan keupayaan serta tahap profesional kerjaya perguruan supaya terus dipandang mulia.
"GBC seharusnya menjadi individu yang boleh diharapkan untuk berada di barisan hadapan dalam pentadbiran dan pengurusan demi menjayakan Wawasan 2020 serta Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dirancang," katanya.
Berita harian Online: 30 Ogos 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan