Khamis, 14 Ogos 2008

Guru YIK dapat sagu hati RM500

KOTA BHARU: Semua guru daripada 20 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) mulai kelmarin, akan menerima sagu hati RM500 setiap seorang daripada Kementerian Pelajaran sementara menunggu mereka dilantik ke jawatan tetap.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Mohd Amar Nik Abdullah, berkata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom memberi jaminan bayaran itu akan dibuat secepat mungkin bagi membantu guru SAR yang sebelum ini memperoleh gaji rendah.

"Saya diberitahu Alimuddin bahawa kementerian akan membayar RM500 kepada semua guru daripada 20 SAR yang didaftar sebagai SABK sementara menunggu dilantik ke jawatan tetap, sebahagian guru yang sudah dilantik juga akan menerima bayaran itu.

"Bayaran itu dibuat kerana guru SAR menerima gaji rendah berbanding guru jawatan tetap, di luar Kelantan misalnya ada guru SAR diberi gaji serendah RM200 hingga RM500 sebulan, tetapi di Kelantan, minimum RM1,000 dan bagi yang memiliki ijazah pula memperoleh RM1,200.

"Kerajaan Kelantan menghargai kesediaan Kerajaan Pusat membayar sagu hati RM500 itu yang dapat membantu meringankan beban guru SAR, terutama ketika dibebani kenaikan harga minyak," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan, di sini, semalam.

Mohd Amar berkata, selain dijanjikan jawatan tetap serta menerima skim pencen, Kementerian Pelajaran turut memberi jaminan menyediakan latihan ikhtisas kepada semua guru SAR terbabit kerana sebahagian besarnya tidak mempunyai sijil atau Diploma Perguruan.

"Berapa lama proses penyerapan guru SAR ke jawatan tetap bergantung kepada kementerian, tetapi sebelum dilantik, mereka perlu mengikuti latihan ikhtisas," katanya.

Berita Harian Online: 14 Ogos 2008

Tiada ulasan: