Oleh Ruzain Syukur Mansor
HARTA paling berharga bagi sebuah negara adalah warganya sendiri. Kualiti rakyat sesebuah negara disifatkan modal insan yang perlu ditagih buat memacu kegemilangan.
Cabaran pembinaan modal insan terletak sebahagian besar di bahu pendidik. Mereka terbabit dalam dunia pendidikan dan latihan untuk mengembangkan potensi, bakat dan kualiti seseorang murid atau pelajar.
Pendidikan penting dalam menyediakan negara dengan modal insan berkualiti yang memiliki sahsiah, berkemahiran tinggi serta mampu berfikir secara kreatif dan kritis khususnya untuk mengisi ruang pemodenan menuju wawasan 2020.
Antara tugas penting warga pendidik dalam membangun modal insan ialah membentuk personaliti unggul dalam membina kepemimpinan mantap.
Personaliti unggul bakal diterjemahkan melalui peribadi mulia, mempunyai sifat amanah dan kepemimpinan mulia serta berdisiplin dalam setiap tugasan.
Cabaran warga pendidik pastinya pada menyemai benih nilai murni ke arah pembentukan personaliti unggul itu. Perancangan rapi harus direncana bagi merealisasikan impian itu.
Di antara tugas utama warga pendidik ialah meningkatkan keupayaan, minat dan bakat murid bagi menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Penguasaan bahasa Inggeris sebagai penambah nilai modal insan dikenal pasti antara perkara yang dititikberatkan melalui beberapa strategi berikut:
l Program bacaan awal berstruktur sekolah rendah bagi menanam minat membaca dan bertutur di kalangan murid.
l Program sastera kontemporari sekolah rendah bagi meningkatkan minat membaca, bertutur dan memperluaskan kosa kata bahasa Inggeris di kalangan murid.
l Aktiviti selepas peperiksaan UPSR bagi mempersiapkan murid tahun enam dengan pengajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris
Selain itu, pendidikan sains adalah usaha memperkasakan minda saintifik di kalangan murid. Rangsangan minda mampu melahirkan murid yang berfikir secara kreatif dan inovatif serta mempunyai daya inkuiri tinggi. Untuk itu, pengenalan Program F1 Technology Challenge and Robotic kendalian Kementerian Pelajaran memberikan pendedahan minat berfikiran ala saintifik dan berinovasi di kalangan anak muda.
Galakan penggunaan ICT pula dalam pengajaran dan pembelajaran seperti pengenalan pengajaran ICT Learning seawal peringkat tahap satu di sekolah rendah dapat merangsang minda murid untuk menerapkan elemen teknologi maklumat di dalam pemikiran bercorak futuristik.
Pembangunan modal insan di kalangan pelajar juga dititikberatkan melalui pembentukan keterampilan dan sahsiah unggul. Di peringkat Kementerian Pelajaran, usaha itu digarap melalui pemantapan kurikulum.
Rentasan nilai murni banyak diterapkan melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral. Pada 2005, pemerkasaan pengajaran Pendidikan Islam diserlahkan melalui pelaksanaan program j-QAF dan penulis ialah guru yang melaksanakan program cetusan idea Perdana Menteri ini.
Mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan pula diperkenalkan pada 2005 kepada murid tahun empat dan pelajar tingkatan satu bagi meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab dan peranan sebagai warga negara berkualiti.
Pemantapan aktiviti kokurikulum bakal melonjakkan potensi kepemimpinan dalam memastikan keseimbangan potensi murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Memorandum langkah memantapkan program kurikulum pada 2005 memutuskan pembabitan pelajar dalam aktiviti kokurikulum menyumbang 10 peratus kepada syarat kelayakan memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam, sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.
Pembabitan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat membina modal insan cemerlang dari segi:
l Meningkatkan kemahiran sosial dan interaksi, seterusnya memperkukuh integrasi kaum.
l Melengkapkan diri pelajar dengan kualiti kepemimpinan, jati diri dan daya tahan.
l Memperkukuh disiplin diri melalui penyemaian sahsiah dan pematuhan kepada rukunegara.
l Mencungkil bakat dan potensi diri.
l Menyingkap minat murid terhadap kepelbagaian aktiviti luar dan mencabar.
Modal insan kelas pertama tidak hanya hebat dengan kepakaran dan kemahiran, tetapi mengamalkan budi bahasa dan pekerti mulia. Justeru, Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni menjadi teras pembinaan modal insan berbudaya unggul.
Penganjuran kempen itu diharapkan murid menghayati Rukunegara dan dididik supaya menghayati amalan hidup berbudi bahasa, menghormati orang lain serta meneguhkan pengajaran nilai merentas kurikulum.
Bagi memperkukuhkan jati diri, aspek pengukuhan disiplin juga menjadi keutamaan warga pendidik. Melalui kempen Anti Buli, Anti Ponteng, serta pembabitan ahli masyarakat dalam kempen pencegahan salah laku murid, diharapkan sedikit sebanyak membantu usaha mendisiplinkan murid.
Berdasarkan statistik daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 di bawah subtajuk membangun modal insan, kes disiplin di sekolah telah menurun.
Penurunan 0.04 peratus iaitu daripada 2.11 peratus pada 2003 kepada 2.07 peratus pada 2004. Penurunan 0.33 peratus iaitu daripada 2.07 peratus bagi 2004 kepada 1.74 peratus bagi 2005. Ia hasil pemuafakatan semua pihak bagi memastikan modal insan yang dilahirkan berdisiplin tinggi serta bermaruah.
Melalui kupasan ringkas dan ruang terbatas ini, mustahil untuk penulis memperincikan peranan warga pendidik dalam membangun modal insan di sekolah. Namun, ia mampu memberikan gambaran umum bagaimana warga pendidik berperanan melonjakkan kecemerlangan modal insan.
Segalanya tidak akan menjadi realiti jika usaha itu tidak disokong semua pihak.
Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), pentadbir sekolah serta masyarakat harus berganding bahu menggembleng tenaga membangun modal insan bersepadu.
myMetro Online: 16 Ogos 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan