Jumaat, 22 Ogos 2008

Anggota Parlimen Cadang Gaji Guru Naik 20 Peratus

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Seorang anggota Parlimen mencadangkan agar kerajaan menaikkan gaji guru sebanyak 20 peratus dalam pembentangan Bajet 2009 pada 29 Ogos depan supaya profesion perguruan itu lebih menarik dan diminati khususnya penuntut yang cemerlang.

Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) berkata skala gaji guru sedia ada, kurang menarik minat pelajar cemerlang menyertai profesion itu kerana ia berada di bawah paras pasaran semasa berbanding profesion lain.

"Di Singapura, guru dibayar gaji S$2,800 sebulan berbanding di negara ini yang mana skala gajinya di bawah paras pasaran semasa. Bagaimana gaji seperti ini mahu menarik orang yang cemerlang untuk menjadi guru?

"Ada kes guru enggan menghabiskan mata pelajaran, supaya pelajar mengambil tuisyen yang dikendalikan mereka selepas kelas untuk mendapatkan wang tambahan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2008 di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Pua berkata profesion guru sekarang hanyalah pilihan terakhir dan bukan disebabkan minat mendalam terhadap bidang itu sehingga menjejaskan mutu pembelajaran.

Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pula berkata kerajaan perlu melihat masalah kemasukan penuntut lelaki ke institusi pendidikan yang dikatakan kurang berminat dengan profesion perguruan itu.

Beliau juga berkata seorang guru perlu serba boleh dan memiliki pelbagai kemahiran agar guru yang dilahirkan tidak hanya tertakluk menjadi sebagai guru yang mengajar di sekolah sahaja.

"Bukan setakat mereka ke sekolah setiap hari, makan gaji bulanan, balik rumah dan kemudian ke sekolah lagi. Kita mahu satu anjakan sistem yang lebih baik, mahu sesuatu modul insan yang dilahirkan lebih kompetitif dalam mereka mendidik anak bangsa kita," katanya.

-- BERNAMA

BERNAMA: 21 Ogos 2008

Tiada ulasan: