Ahad, 17 Ogos 2008

Guru diarah gerak jentera disiplin

Oleh Syuhada Choo Abdullah

choo@bharian.com.my

Sekolah diminta tangani kegiatan samseng pelajar

KUALA LUMPUR: Semua pengetua dan guru besar dikehendaki menggerakkan seluruh jentera disiplin di sekolah masing-masing bagi mengesan sebarang kegiatan samseng di kalangan pelajar mereka.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata Kementerian Pelajaran memandang serius pelbagai kejadian disiplin berat membabitkan pelajar di sekolah, termasuk perbuatan membelasah pelajar secara berkumpulan.

Beliau berkata, pengetua dan guru besar tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap gejala berkenaan semata-mata untuk menjaga imej sekolah, sebaliknya bertanggung jawab mengesan dan mengambil langkah segera menanganinya.

"Setiap sekolah ada mekanisme serta jentera disiplin masing-masing yang turut meliputi pegawai perhubungan polis. Justeru, pengetua dan guru besar mesti menggerakkannya untuk mendapat segala maklumat berkaitan.

"Malah, sekiranya didapati ada kes pelajar membabitkan unsur jenayah, ia patut dilaporkan untuk tindakan pihak polis, manakala kes disiplin lain mesti ditangani pada peringkat sekolah dengan membabitkan peranan dan kerjasama pihak ibu bapa.

"Langkah ini amat penting kerana pelajar tidak dapat menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik jika ada gangguan sedemikian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai rakaman aksi buli sekumpulan pelajar perempuan membelasah pelajar perempuan lain ketika sedang mengikuti latihan kokurikulum sebuah sekolah menengah di Tampin, Negeri Sembilan.

Berita Harian Online: 17 Ogos 2008

Tiada ulasan: