Sabtu, 16 Ogos 2008

9,000 guru j-Qaf

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pengambilan guru bagi program pembelajaran jawi al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-Qaf) kini mencecah hampir 9,000 orang sejak ia dilaksanakan pada tahun 2005.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, pengambilan tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa memandangkan program tersebut dilihat memberi impak besar kepada pelajar sekolah.

''Setiap tahun, kita sudah mengambil kira-kira 3,000 guru bagi program tersebut. Kita akan melakukan pelbagai usaha untuk memantapkan pemikiran dan latihan guru-guru yang diambil,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan syarahan umum dan merasmikan Siri Wacana Pemikiran Epistemologi Alam Melayu anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Katanya, program j-Qaf merupakan antara elemen penting dalam memartabatkan alam dan tamadun Melayu.

Justeru, Razali berkata, kementerian akan bekerjasama dengan ATMA termasuk penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mengadakan siri perbincangan mengenai alam dan tamadun Melayu di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi lain.

Terdahulu dalam syarahan umumnya, Razali berkata, program j-Qaf yang dilaksanakan berjaya menampakkan hasil apabila generasi muda Melayu mampu menguasai pengajaran jawi, al-Quran dan aspek fardu ain.

Katanya, ia memainkan peranan penting supaya masyarakat mampu menghayati epistemologi dunia Melayu.

''Ia antara langkah yang dilakukan kementerian supaya pemahaman dan penghayatan tidak terjejas dan akan membolehkan pembangunan modal insan berjalan seiring dengan pembinaan masyarakat,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Ogos 2008

Tiada ulasan: