Selasa, 19 Ogos 2008

Guru pondan usah diberi muka

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

krull@bharian.com.my

KGAMB minta Kementerian Pelajaran bertegas demi martabat perguruan

KOTA BHARU: Kesatuan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KGAMB) meminta Kementerian Pelajaran bertindak tegas terhadap guru yang terbabit dalam pertandingan ratu pondan bagi menjaga martabat serta profesion perguruan negara ini.

Presiden KGAMB, Malek Hassan, berkata peranan guru adalah untuk mendidik anak bangsa, bukannya terbabit dalam perkara negatif yang bukan saja memburukkan imej guru, malah akan memberi kesan kepada pelajar.

Katanya, sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran memandang serius perkara negatif seperti itu bagi memastikan ia tidak menjadi satu penyakit yang sukar diubati pada masa depan.

“Profesion perguruan dipandang tinggi oleh semua pihak dan tindakan guru berkenaan sudah memberikan aib bukan saja kepada guru, malah turut menerima kesan sama adalah pelajar.

“Oleh itu, KGAMB berharap Kementerian Pelajaran mengenakan tindakan sewajarnya atau kaunseling kepada guru berkenaan bagi menjaga maruah perguruan negara,” katanya.

Beliau mengulas mengenai guru yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) ketika menyertai pertandingan ratu cantik pondan di sebuah resort di Telong, Bachok, 25 Julai lalu.

Kelmarin, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata guru berkenaan sudah ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok, awal bulan ini sehingga laporan penuh diterima dari Jabatan Pelajaran Kelantan mengenai kes itu.

Berita Harian Online: 19 Ogos 2008

Tiada ulasan: