Isnin, 11 Ogos 2008

'Kerjasama terus lonjak kecemerlangan'

PENGETUA dan guru besar sekolah kluster yakin pemuafakatan antara sekolah dan universiti mampu menonjolkan bidang kekuatan sekolah masing-masing agar terus berada dalam kelompok sekolah cemerlang.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sri Gaya, Sabah, Abdul Gahni Mohd Kasim, berkata kerjasama itu sejajar usaha Kementerian Pelajaran yang mahu sekolah kluster menjadi sekolah unik dengan acuan tersendiri.

Katanya, jika sebelum ini sekolah sedikit sukar menjalin kerjasama dengan universiti berikutan tiada saluran terbaik, kini usaha itu dapat dilaksanakan menerusi rangkaian formal sebegini.

“Peluang kini terbuka luas kepada sekolah untuk mengatur dan melaksanakan perancangan bersama universiti masing-masing dan sewajarnya peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Malah, setiap perancangan perlu menjurus ke arah usaha memantapkan bidang kekuatan sekolah masing-masing,” katanya.

Abdul Gahni berkata, kerjasama itu yang turut membolehkan sekolah menggunakan kemudahan penyelidikan universiti turut membantu ke arah membudayakan kegiatan penyelidikan di sekolah selain mewujudkan kerjasama penyelidikan antara pensyarah IPTA dan guru.

Pengetua Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban, Azam Mt Atan, berkata perkongsian pengetahuan, kemahiran dan kemudahan yang ada di universiti dapat membantu memperoleh pengalaman serta input berguna bagi manfaat jangka panjang.

Pada masa sama, katanya, sekolah juga berupaya mengenal pasti input dan kaedah terbaik yang boleh disesuaikan dengan pelaksanaan di sekolah menerusi penjanaan rantaian interaksi yang sememangnya memberi kesan positif kepada kedua belah pihak.

“Menerusi kerjasama ini juga, pihak sekolah, guru dan pelajar berpeluang mendapat lebih banyak pendedahan berkaitan universiti yang dipadankan dengan mereka.

“SDAR dijadikan sekolah angkat kepada Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

“UPNM contohnya menawarkan program pendidikan yang menerapkan kemahiran ketenteraan yang pastinya menjadi pilihan pelajar SDAR yang terdiri daripada pelajar lelaki,” katanya.

Berita Harian Online: 11 Ogos 2008

Tiada ulasan: