Khamis, 14 Ogos 2008

Pasangan guru terima ijazah sarjana


BUKTI KEJAYAAN: Muhammad Firdaus (kiri) bersama penerima Anugerah Diraja, Kee Meng Fai

KESIBUKAN tugas harian sebagai guru dan mengurus rumah tangga tidak menghalang pasangan Sabri Abu Samah dan Haliza Abu Bakar memperoleh ijazah sarjana dalam bidang Kesusasteraan Melayu pada majlis Konvokesyen Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Sabri, 43, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Kuning Selatan, Gemencheh dan isterinya Haliza, 39, bertugas di SK Felda Sungai Kelamah, Tampin, Negeri Sembilan, mengamalkan sikap toleransi sebagai faktor kejayaan mereka merealisasikan cita-cita itu.

Sabri yang juga Guru Penolong Kanan di SK terbabit, berkata sikap saling bantu membantu antara satu sama lain, selain kesungguhan serta keazaman tinggi mendorong mereka mencapai kejayaan manis dalam hidup mereka berdua.

“Kami akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah dalam bidang sama,” katanya selepas Konvokesyen UKM ke -36, di Bangi.

Bagi Haliza, ibu kepada tiga anak, berkata mereka mahu menjadi pencetus motivasi kepada rakan di sekolah dan seterusnya memartabatkan SK di mata masyarakat.

“Mungkin selama ini masyarakat hanya memandang tinggi pensyarah universiti dan guru sekolah menengah, namun saya berpendapat guru SK juga tidak kurang pentingnya kerana cabaran mengajar murid di luar bandar khususnya bergantung kepada guru,” katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan Undang-Undang, Muhammad Firdaus Abdul Rahim, 25, berkata beliau mahu menukar persepsi yang mengatakan orang bersaiz besar tidak aktif dan malas.

Muhammad Firdaus yang pernah memegang jawatan Presiden Mahasiswa Negeri Sembilan sesi 2007-2008, pembahas dan pemidato UKM, berkata beliau menjadikan saiz badannya seberat 160 kilogram sebagai aset untuk mendominasi dan dikenali rakan belajarnya.

“Saya tidak mempunyai masalah mendapatkan pekerjaan apabila ditawarkan sebagai Peguam Persekutuan Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara hanya selepas dua minggu keputusan peperiksaan dikeluarkan,” katanya.

Berita harian Online: 14 Ogos 2008

Tiada ulasan: