Ahad, 3 Ogos 2008

Kementerian Pelajaran tubuh tiga bahagian baru

Oleh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA 1 Ogos - Kementerian Pelajaran menubuhkan tiga bahagian baru bagi memperkasakan sistem pendidikan negara di bawah penstrukturan semula kementerian itu yang bermula sejak Mac lalu.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, tiga bahagian baru tersebut adalah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Bahagian Psikologi dan Kaunseling dan Unit Pengurusan Sumber Manusia.
''Di samping itu, sektor pendidikan juga dibahagikan kepada tiga teras utama iaitu Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan dan Sektor Pembangunan Profesionalisme.
''Menerusi penstrukturan semula itu, sebanyak 17 jawatan guru dan pegawai telah dinaikkan gred," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2007 dan Perhimpunan Bulan Ogos di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Seramai 354 pegawai dan guru menerima APC 2007.
Kali terakhir proses penstrukturan semula kementerian dilakukan pada 1995.
Hishammuddin memberitahu, bagi memastikan sistem penyampaian pendidikan dapat disalurkan dengan lebih berkesan, pemantapan organisasi turut dilaksanakan di peringkat pejabat pelajaran daerah (PPD).
''Keputusan kerajaan untuk meluluskan penubuhan lapan PPD baru telah mewujudkan 92 jawatan baru dan daripada jumlah tersebut, 52 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).
''Selain itu, 20 jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Model A yang melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur, telah dinaikkan gred," katanya.

Utusan Malaysia Online: 2 Ogos 2008

Tiada ulasan: