Selasa, 26 Ogos 2008

NUTP syor guru kegiatan luar diberi subsidi minyak

Oleh Amin Ridzuan Ishak

Tiada pengangkutan khas bebankan pendidik bawa pelajar KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran memberikan subsidi petrol dan diesel khusus kepada guru yang terpaksa membawa murid di luar kawasan sekolah.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata kini guru terpaksa menanggung perbelanjaan mengisi minyak kenderaan bagi membawa murid terutama untuk aktiviti di luar kawasan sekolah berikutan ketiadaan pengangkutan khas disediakan.

Katanya, ini jelas membebankan guru dan walaupun mereka boleh membuat tuntutan semula terhadap perbelanjaan itu, prosesnya mengambil masa panjang dengan guru tidak boleh bertahan menunggu pembayaran tuntutan semula itu.

“Kita minta subsidi diesel dan petrol daripada kerajaan bertujuan meringankan beban guru, terutama yang mengajar di kawasan kurang pengangkutan awam atau sekolah tiada bas sendiri seperti di pedalaman.

“Mereka terpaksa membawa murid ke sesebuah destinasi atau menghantarnya pulang berikutan ketiadaan pengangkutan.

“Guru di bandar tidak mengalami masalah seperti ini kerana kemudahan (pengangkutan) mencukupi,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, pihaknya mencadangkan dua pendekatan digunakan kerajaan bagi membolehkan penjimatan dilakukan walaupun pemberian subsidi itu diberikan kepada guru terbabit.

“Satu, subsidi hanya diberikan kepada guru mengajar di sekolah tidak mempunyai bas sendiri atau tiada pengangkutan awam.

“Mereka memerlukannya kerana terpaksa menggunakan kenderaan sendiri berikutan situasi dihadapi.

“Langkah kedua dengan membekalkan sebuah bas dilengkapi pemandu kepada sekolah mempunyai lebih 1,000 orang dan ‘coaster’ kepada sekolah kurang 1,000 pelajar.

“Dua pendekatan itu boleh diambil kerana tidak semua sekolah sesuai serta boleh dibekalkan bas yang bergantung kepada bentuk geografi kawasan,” katanya.

Berita Harian Online:25 Ogos 2008

Tiada ulasan: