SERAMAI 2,133 guru disiplin akan menjalani Kursus Pengurusan Emosi bagi membolehkan mereka menangani isu salah laku pelajar dengan tenang dan rasional.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata kursus berkenaan dikhususkan kepada pendidik yang sudah lama menjalankan tugas sebagai guru disiplin bagi membantu mereka mengawal emosi terutama apabila berhadapan dengan pelajar yang kurang sopan.
“Pelbagai kes salah laku disiplin di sekolah berlaku ketika ini dan tidak dinafikan boleh menggugat kesabaran guru apabila berhadapan dengan kerenah pelajar bermasalah.
“Justeru, antara penekanan kursus baru ini adalah kawalan emosi diri sebagai asas penting dalam menangani disiplin pelajar bagi mengelakkan guru tertekan serta bertindak kasar terhadap pelajar,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Beberapa kes murid mendakwa didera guru dilaporkan media sebelum ini termasuk kejadian 22 murid mendakwa ditampar guru besar di Tuaran, Sabah serta tujuh pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama di Baram, mendakwa dipukul warden dengan rotan sebanyak 10 hingga 20 kali kerana mengotorkan kawasan asrama.
Malah, seorang guru Bahasa Inggeris yang memukul tiga murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Padang Sanai, Padang Terap, Kedah, dengan kasut tumit tinggi, dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Tatatertib kerana tindakannya dianggap melampau dan melanggar peraturan serta garis panduan menghukum pelajar yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.
Zulkifly berkata, Kementerian turut menganjurkan kursus Literasi Undang-Undang untuk guru disiplin, kaunselor dan warden asrama bagi meningkatkan pengetahuan mereka mengenai aspek perundangan serta pengurusan peraturan disiplin di sekolah.
Berita Harian: 5 Ogos 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan