Oleh Rosniza Mohd Taha
GURU Besar dan pengetua seluruh negara diminta meningkatkan usaha menyebarkan maklumat mengenai Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 -2010 di sekolah masing-masing kerana masih ramai pelajar tidak menyedari kepentingan menjayakan pelan berkenaan bagi memantapkan sistem pendidikan kebangsaan.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata kegagalan pelajar menghayati pelan pembangunan itu mengakibatkan mereka mengambil ringan usaha murni berkenaan dan beranggapan tidak perlu memainkan peranan dalam menjayakannya.
Katanya, perhimpunan sekolah adalah wadah terbaik bagi pengurusan sekolah mengupas teras, matlamat dan strategi PIPP dengan memberi penekanan terhadap manfaat dan peranan yang boleh dimainkan pelajar dalam pelaksanaan pelan itu.
“Sejak awal PIPP dilancarkan, kementerian sudah meminta semua pihak terbabit memahami, menghayati dan melaksanakannya supaya pelan itu mencapai sasaran tetapi hingga kini ia masih tidak sampai kepada pelajar seperti yang dikehendaki.
“Justeru, kementerian berharap semua sekolah meningkatkan usaha menyebarkan maklumat PIPP dengan lebih terperinci dan mengaitkannya dengan pelajar supaya mereka faham manfaatnya kepada mereka serta bermotivasi memainkan peranan bagi menjayakannya.
“Apabila semua warga sekolah memahami matlamat dan agenda pelan pembangunan ini, barulah ia dapat dibudayakan di sekolah dan bukan sekadar dipamer seperti yang banyak dilakukan ketika ini. Surat peringatan rasmi mengenai perkara ini yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas pertandingan akhir Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) peringkat sekolah menengah, di Bangi, baru-baru ini.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Pada pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat, Pontian, Johor yang membariskan
Mohd Aizat Alias, Nurhazwani Hashim dan Siti Amirah Bahri muncul johan sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000 dan piala iringan.
Tempat kedua dimenangi SMK Hwa Lian, Mentakab, Pahang, manakala SMK Dato Sheikh Ahmad, Arau, Perlis (ketiga).
Berita harian Online: 12 Ogos 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan