Selasa, 12 Ogos 2008

Contoh untuk anak

Oleh Siti Fatimah Hassan

BANGI: “Kami ingin jadikan kejayaan ini contoh kepada anak-anak serta murid di sekolah bahawa usia bukan penghalang mengejar ilmu.

“Jika diikutkan, memang banyak pengorbanan terpaksa dilakukan tetapi selagi diberi peluang, kami ingin terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi,” kata graduan Ijazah Sarjana Sastera, Sabri Abu Samah, 43, sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.

Guru Sekolah Kebangsaan Air Kuning Selatan, Negeri Sembilan, itu berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang kesusasteraan Melayu bersama isterinya yang juga seorang guru, Haliza Abu Bakar, 39.

Sabri berkata, dia puas selepas menempuh pelbagai kesukaran terutama apabila terpaksa meninggalkan tiga anaknya kepada pengasuh ketika ke kuliah bersama isteri.

“Pada mulanya memang kami tidak sampai hati (mahu tinggalkan anak-anak) tetapi anak sulung berusia 14 tahun sentiasa memahami dan memberi galakan meneruskan pelajaran.

“Sebagai inspirasi kepadanya pula, kami sentiasa bawa dia ke sini (UKM) pada hujung minggu supaya dapat merasai suasana di universiti,” katanya.

Seramai 7,273 graduan dianugerahkan ijazah pada konvokesyen kali ini termasuk lima penerima ijazah kehormat dan Profesor Emeritus, 188 ijazah doktor falsafah (PhD), 137 ijazah sarjana kepakaran, 1,209 ijazah sarjana, 5,302 ijazah sarjana muda, 297 diploma siswazah, 113 diploma dan 17 sijil.

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Kee Meng Fai, 24, menyifatkan anugerah diterimanya satu kejutan buat dirinya kerana tidak menyangka mendapat penghormatan ini.

Graduan Sarjana Muda Undang-undang Dengan Kepujian (Cemerlang) itu berkata, ini kerana dia menganggap dirinya sebagai pelajar sederhana sejak di sekolah lagi.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia memastikan prestasi sepanjang pengajian konsisten selain tidak terlalu memberi tekanan pada diri sendiri.

“Di sekolah dulu saya sederhana saja cuma sentiasa mengekalkan prestasi pelajaran. Selain itu, saya belajar untuk tidak terlalu memberi tekanan supaya dapat berada dalam keadaan terkawal setiap kali mengikuti kuliah,” katanya yang menjadi pendebat bahasa Inggeris dalam pelbagai pertandingan di dalam dan luar negara seperti Indonesia dan Filipina.

myMetro Online: 12 Ogos 2008

Tiada ulasan: