Isnin, 11 Ogos 2008

Denda duduk atas lantai

ANAK saya belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Taman Connaught 2, Cheras. Ada dua murid kelasnya yang didenda duduk belajar di atas lantai berminggu-minggu lamanya dengan seorang daripadanya murid perempuan Melayu.

Bagi saya, mendenda pelajar secara keterlaluan ini semata-mata kerana mereka tidak dapat menghabiskan latihan sekolah atas dakwaan 'malas' tidak betul.

Perbuatan pihak sekolah itu menghina dan melanggar hak asasi kanak-kanak patut dielakkan.

Bagi saya, guru besar dan guru adalah pembimbing dan pemegang amanah ibu bapa untuk mendidik kanak-kanak, mereka tidak seharusnya membenarkan kejadian seperti ini berlaku.

Saya tidak faham kenapa perkara ini boleh berlarutan sekian lama sehinggakan tiada guru termasuk guru besar dan penolong kanan berasa kasihan dan prihatin untuk menghentikan kejadian ini.

Saya tidak pasti sama ada guru besar membenarkan denda yang menghina dan menjatuhkan maruah murid. Ini adalah satu penyelewengan kuasa, tetapi saya amat pasti bahawa pengalaman dihina ini akan membawa kesan amat buruk yang mungkin tidak dapat dipulih.

Tindakan pihak sekolah itu tidak membantu dalam membina satu budaya belajar, minda dan psikologi murid yang sihat, sebaliknya tampalan psikologi murid yang sengaja dijatuhkan maruah itu akan berkekalan selama-lamanya.

Apa yang mendukacitakan ibu bapa ialah guru kelas yang mendenda murid berkenaan dianugerahkan `Guru Cemerlang' baru-baru ini.

Lebih mendukacitakan, selepas satu salinan surat aduan diserahkan kepada guru besar, murid perempuan itu diberikan kerusi dan meja, tetapi murid lelaki malang itu masih duduk dan belajar di atas lantai.

Saya menulis surat ini kerana cukup sedih, sebagai bapa kepada anak yang pulang dengan linang air mata menceritakan nasib kawannya di dalam kelas yang setiap hari terpaksa duduk di lantai berhampiran tong sampah.

PERAYU BAGI PIHAK ANAK,
Kajang, Selangor.

Berita Harian Online: 11 Ogos 2008


Tiada ulasan: