HOBI: Roslan bersama isteri Habibah Nawawi, meninjau tanaman herba dan sayuran yang ditanam di halaman rumahnya di Taman Sri Pauh, Panji, Kota Bahru. |
KOTA BHARU: Minat bercucuk tanam di sekeliling rumah sejak dua tahun lalu, ternyata membawa rahmat kepada keluarga seorang guru yang kini tidak lagi perlu membeli bekalan sayur-sayuran untuk keperluan harian sepanjang tempoh itu.
Malah, kegigihan keluarga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Long Ghafar, Mohd Roslan Roshali, 45, menanam kira-kita 10 jenis sayur-sayuran mendapat pengiktirafan apabila muncul sebagai pemenang pertandingan "Kitchen Garden 2008" anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan.
Mohd Roslan yang juga Guru Sains Pertanian, berkata usaha bercucuk tanam adalah sekadar hobi mengisi masa lapang ketika berada di rumah sambil mempraktikkan ilmu yang selama ini didedahkan kepada pelajarnya.
"Bermula dengan hobi dan minat, usaha saya menanam pelbagai sayur-sayuran ini turut menarik sokongan isteri dan anak-anak untuk membantu menjaganya. Antara yang kami tanam termasuklah lada, serai, terung, pokok herba dan sawi.
"Hasilnya, sejak dua tahun lalu, kami tidak lagi perlu membeli sayur di pasar, sebaliknya boleh menikmati sayur segar terus dari halaman rumah setiap hari apabila diperlukan. Saya sekeluarga hanya menanam sayur jangka pendek yang mengeluarkan hasil dalam masa singkat. Hasilnya kini turut membolehkan kami berkongsi dengan jiran tetangga," katanya.
Sebagai johan bagi kategori individu pada Kitchen Garden 2008 itu, Mohd Roslan membawa pulang hadiah wang tunai RM400 dan sijil serta trofi.
"Saya berhasrat membangunkan lagi kawasan tanaman sayur-sayuran membabitkan kawasan yang lebih besar," katanya.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Mamat Yunos, berkata pertandingan Kitchen Garden diadakan setiap tahun untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai faedah mengusahakan kebun kecil di kawasan rumah masing-masing.
"Kita berharap dapat meneruskan pertandingan ini setiap tahun. Tahun ini, sebanyak 10 penyertaan diterima merangkumi kategori sekolah menengah dan rendah, komuniti dan individu," katanya.
Kategori sekolah dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol dan SK Langgar, manakala kategori komuniti dimenangi Pusat Serenti Bachok. Johan setiap kategori itu membawa pulang RM1,000, trofi berserta sijil penyertaan.
Berita Harian Online: 27 Ogos 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan