Khamis, 14 Ogos 2008

Syarat baru mohon guru dilaksana akhir tahun

Oleh Amin Ridzuan Ishak

aminridzuan@bharian.com.my

Kementerian cadang turunkan had kelayakan PNGK

KUALA LUMPUR: Proses mengemas kini syarat layak memohon menjadi guru termasuk mengurangkan purata nilai gred kumpulan (PNGK) kepada bawah 2.75 bagi graduan institut pengajian tinggi awam (IPTA) akan mula dilaksanakan akhir tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata proses mengubah sesetengah syarat bagi memudahkan graduan IPTA menjadi guru itu akan dilaksanakan menerusi Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi bersama Kementerian Pelajaran.

Katanya, seminar bersama yang kali terakhir diadakan tahun ini difokuskan kepada perkara itu (melonggarkan syarat layak memohon menjadi guru) dengan masing-masing akan membentangkan cadangan mereka untuk dipertimbangkan.

"Selepas itu, cadangan setiap kementerian akan dibincangkan dengan terperinci bagi mendapatkan persetujuan untuk disenaraikan ke dalam syarat baru permohonan menjadi guru yang bakal digunakan pada masa depan.

"Jika dipersetujui, ia akan diluluskan dan mesyuarat sekali lagi membincangkan tarikh syarat baru berkuat kuasa. Kalau kedua-dua pihak bersetuju ia dilaksanakan pada sesi pengambilan seterusnya, itulah akan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kajian bagi mengatasi mengatasi isu berkaitan profesion perguruan yang didakwa berlaku diskriminasi terutama berkaitan penempatan graduan IPTA dan institut pendidikan guru (IPG).

Masalah disuarakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bulan lalu itu.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam reaksinya menyatakan kementeriannya tidak pernah mendiskriminasikan guru lepasan IPTA khususnya dalam proses penempatan mereka di sekolah menengah dan rendah.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, satu lagi isu bakal dibincangkan dalam seminar dijalankan dua atau tiga tahun sekali itu adalah berhubung pembayaran elaun di mana buat masa ini, ia hanya diberikan kepadapenuntut IPG sepanjang tempoh pengajian.

"Ini berbeza dengan penuntut IPTA yang terpaksa membayar sendiri yuran pengajian serta perbelanjaan mereka. Perkara ini berlaku kerana kami sudah mengetahui pelajar IPG akan menjadi guru, tetapi sebaliknya bagi lepasan IPTA," katanya.

Berita Harian Online: 14 Ogos 2008

Tiada ulasan: