Khamis, 14 Ogos 2008

Sekolah tumpu Bahasa Melayu untuk tingkat prestasi SPM

SAYA adalah guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di daerah Hulu Terengganu. Apa yang saya ingin ketengahkan ialah satu keadaan yang saya rasa pelik berlaku di sekolah saya, khasnya kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kebelakangan ini, saya dapati sekolah saya terlalu memberi tekanan kepada guru Bahasa Melayu Tingkatan Lima. Nampaknya, Bahasa Melayu seolah-olah menjadi mata pelajaran kritikal sedangkan guru yang mengajarnya tidak layak mendapat elaun kritikal.

Guru yang mengajar mata pelajaran yang dianggap kritikal dan mendapat elaun kritikal tidak pula berasa bahawa subjek mereka kritikal. Mereka sanggup memberi mata pelajaran mereka kepada guru Bahasa Melayu semata-mata untuk menaikkan peratus mata pelajaran ini yang menentukan tinggi rendahnya peratusan peperiksaan SPM sesebuah sekolah.

Lebih pelik tetapi benar, pihak pengurusan sekolah melalui jadual waktu anjal sanggup memaksa guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani Kesihatan dan Pendidikan Seni menggugurkan mata pelajaran mereka untuk memberi laluan kepada guru Bahasa Melayu menambah masa mengajar mereka, terutama bagi kelas pelajar kurang pandai.

Keadaan ini jelas menunjukkan sekolah tidak ikhlas membantu pelajar lulus Bahasa Melayu untuk mendapat sijil seperti dihebahkan kepada pelajar. Sebaliknya, mereka hanya mahu meningkatkan peratus lulus Bahasa Melayu, sekali gus meningkatkan peratus lulus SPM.

Apa kemahiran pelajar lulusan sijil SPM peroleh dengan hanya lulus Bahasa Melayu sedangkan ujian lisan pun dibantu markah simpati?

GURU TERTEKAN,
Kuala Berang, Terengganu.

Berita Harian Online: 14 Ogos 2008

Tiada ulasan: